KOTA TINGGI – Seorang penolong pengurus dipenjara lima tahun, selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual terhadap seorang remaja lelaki pada 6 September lalu.
Tertuduh, Zulhilmi Zailani, 40 tahun, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim Haydar Faridzal Abu Hasan.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh melakukan amang seksual fizikal bagi maksud seksual keatas remaja lelaki berusia 16 tahun 4 bulan, dengan cara menyentuh dan menghisap kemaluannya.
Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan stesen pam minyak Bukit Besar di sini pada pukul 2 pagi, 6 September lalu.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Tertuduh juga boleh dikenakan tambahan perintah kaunseling, pampasan kepada mangsa juga diletakkan dibawah pengawasan polis.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Afiqah Musa manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Nor Afiqah memohon kepada mahkamah agar tertuduh dikenakan hukuman setimpal supaya tertuduh tidak mengulangi perbuatan yang sama.
Sementara itu tertuduh memohon agar tidak dikenakan hukuman sebat serta diringankan hukiman kerana mempunyai penyakit asma, mempunyai tanggungjawab kepada ibu bapa dan adik beradik.
Zulhilmi juga berkata dia akan melakukan kerja amal sekiranya dilepaskan.
Mahkamah kemudian menetapkan hukuman penjara lima tahun dari tarikh tangkapan tanpa sebatan, serta perlu jalani kaunseling atau pemulihan dan selepas tempoh tahanan dikenakan pengawasan polis selama dua tahun.
Mengikut fakta kes, pada pukul 11.30 malam, 5 September lalu, tertuduh menghantar mesej menerusi aplikasi Whatsapp mengajak mangsa yang juga jirannya keluar makan di Kulai.
Selepas itu di sebuah stesen minyak di Bukit Besar dekat sini pada pukul 2.30 pagi, 6 September, tertuduh membuka seluar mangsa dan memegang serta menghisap kemaluan remaja tersebut.
Mangsa kemudian melarikan diri dalam tandas di stesen minyak tersebut sebelum membuat panggilan telefon kepada rakannya untuk membawanya pulang.
Rakan mangsa kemudian membawanya pulang ke rumah sebelum remaja tersebut membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi pada 8 September lalu.- MalaysiaGazette
















