PUTRAJAYA – Penduduk Kampung Sungai Baru yang telah bersetuju pindah bakal menjadi jutawan dan ia sepatutnya membanggakan orang Melayu kerana golongan itu mampu memiliki hartanah di tengah bandar Kuala Lumpur.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata, mereka yang mewakili 72 peratus penduduk itu juga akan kembali mendiami kediaman masing-masing yang lebih selesa sekaligus menaiktaraf martabat kehidupan.
Bagaimanapun, jelas beliau, hak penduduk itu tidak dapat dinikmati dan ia berlarutan hampir sembilan tahun gara-gara baki seramai 28 peratus penduduk yang enggan berpindah yang menyebabkan pembangunan tergendala sehingga sekarang.
“Dan Insya-Allah bila siap rumah ini nanti dan saya pun sudah melihat rekaan (rumah) itu dan sebagainya dan saya rasa itu adalah sebenarnya kehidupan yang menaik dan memartabatkan kehidupan orang-orang kampung di situ.
“Takkan kita tak nak tengok orang kita sendiri khususnya orang Melayu, bangsa kita sendiri dapat kehidupan yang macam itu, selesa, senang di kawasan bandar dan kita tak ada pun yang digembar-gemburkan sebagai mengeluarkan orang Melayu daripada kawasan bandar.
“Tak ada sebab kita bawa balik mereka masuk balik ke kawasan tersebut,” katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Semalam kekecohan berlaku semasa operasi pengosongan kediaman di Kampung Sungai Baru, di sini semalam sehingga menyebabkan Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail berkata, tiga lelaki ditahan untuk siasatan kes kecederaan menimpa Sulizmie yang kemudian menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur.
Mengulas lanjut, Zaliha menambah sebagai kerajaan, pihaknya hanya membantu untuk memudahkan agar penduduk dapat kembali ke kampung mereka untuk menikmati kehidupan lebih baik.
“Semua itu bakal-bakal jutawan itu nanti, Insya-Allah. Tak bangga kita, bila orang kita jadi jutawan sepatutnya rasa banggalah,” katanya.
Sementara itu, Zaliha memberitahu, sebarang rundingan baharu berhubung isu pengosongan penduduk Kampung Sungai Baru, Kuala Lumpur perlu dibuat terus dengan pihak pemaju.
Beliau berkata, kerajaan hanya memudah cara daripada segi syarat pembangunan serta urusan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Kalau nak berbincang tentang pengosongan, ia sudah ditentukan mahkamah. Itu bukan keputusan kerajaan. Jadi kalau penduduk mahu bincang lagi, mereka kena rujuk kepada pemaju sebab tanah itu sudah menjadi milik pemaju,” katanya. – MalaysiaGazette

















