ALOR SETAR – Ulamak Pas tidak boleh sekadar mengajar dan memberi fatwa, sebaliknya mesti menjadi watak penyelesai masalah umat serta memberi pedoman dan panduan kepada permasalahan yang berlaku pada hari ini.
Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat, Datuk Ahmad Yahaya berkata, sayap Pas itu perlu menyediakan solusi praktikal terhadap permasalahan rakyat berlandaskan kepada al-Quran, as-Sunnah, ijma’ dan qiyas dengan pendekatan yang menepati figh waqie.
“Perbahasan-perbahasan Fiqh Siyaadah, Figh al-Wāqi’, Fiqh al-Wahdah, Figh al-Magasid, Fiqh al-Muwazanat dan Figh as-Siyäsah as-Syar’iyyah mesti terus dibugarkan dalam masyarakat.
“Sudah sampai masanya institusi pengajian tinggi di bawah Pas membentuk kumpulan pakar berstatus ‘think-tank’ mengikut bidang kepakaran masing-masing menawarkan solusi tuntas dan praktikal menurut neraca ilmu Islam.
“Kita boleh mulakan dengan ekonomi, undang-undang, pentadbiran dan pendidikan Islam, selain meneruskan Daurah Akifi mengikut ‘takhassus’ bidang akademik yang pernah bergerak aktif di musim pandemik,” katanya ketika menyampaikan ucapan dasarnya pada Muktamar Tahunan Dewan Ulamak Pas Pusat ke-64 di Maahad Darul Hadis, di sini, hari ini.
Ahmad juga berkata, sampai bila lagi negara umat Islam seperti Malaysia perlu terikat dengan Dasar Pandang ke Timur atau Barat, Jepun atau Korea, China atau Rusia, Britain atau Jerman dan Amerika Syarikat.
“Sedangkan kita yakin dan percaya bahawa Islam adalah penyelesaian terbaik bagi sebarang bentuk permasalahan dunia.
“Perbahasan dan perbincangan fiqh yang baharu tidak seharusnya berhenti pada satu wacana mahupun program ilmiah, bahkan ia perlu sentiasa dikembangkan sehingga menyentuh aspek dasar Kerajaan.
“Perbahasan sebegini perlu sentiasa diterjemah kepada suatu dasar dan polisi yang jelas. Biar wacana fiqh ini menjadi hujah dan justifikasi dalam pembuatan sesuatu keputusan,” katanya.
Selain itu, katanya, ulamak Pas tidak boleh membiarkan perpecahan dan perbalahan yang berlaku sayap parti Islam itu berterusan mencarik kesatuan jemaah tanpa ada pihak yang menutupnya.
“Usah sekadar melaungkan kesatuan sedangkan perpecahan dalaman jemaah dibiarkan begitu sahaja. Kesatuan dalaman dan luaran harus menjadi agenda utama Dewan Ulamak setiap masa.
“Bahkan, aspek penyatuan ummah ini juga melibatkan PAS dengan entiti-entiti di luar yang mempunyai citra perjuangan yang sama harus disantuni secara bersama,” katanya.
Katanya lagi, Dewan Ulamak Pas harus terkehadapan dalam mendekati kelompok Badan Bukan Kerajaan (NGO), gerakan-gerakan Islam dalam dan luar negara, parti-parti politik Melayu-Islam serta pertubuhan sosial.
“Kesatuan di bawah satu gagasan akan menguatkan Pas dalam menghadapi musuhnya dan perpecahan hanya akan melemahkan kita.
“Kita juga perlu lebih proaktif mendekati dan membina jaringan yang lebih kukuh dengan NGO-NGO Islam, parti-parti politik Melayu-Islam, apatah lagi institusi-institusi pendidikan termasuk pondok dan tuan-tuan gurunya,” katanya.
Tambahnya, sudah sampai masanya Dewan Ulama Pas menyantuni kelompok bukan Islam agar tidak terkeliru dengan racun Islamofobia yang berupaya menjadi virus memecah belah dan meruntuhkan kerukunan serta keharmonian tanah air.
“Realiti di negeri-negeri SG4 telah membuktikan bagaimana indahnya golongan bukan Islam boleh hidup harmoni di bawah pemerintahan Pas.
“Inilah wajah keindahan serta keizzahan Islam dengan konsep rahmatan lil ‘alamin sebenar; Islam sebagai ad-deen memayungi semua warga tanpa mengganggu identiti, jati diri agama dan bangsa lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette
















