Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer

KUALA LUMPUR –  Barisan Nasional (BN) perlu menilai semula kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) susulan tindakan kerajaan Perlis merobohkan Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar, kata pemimpin DAP, RSN Rayer.

Rayer yang juga Ahli Parlimen Jelutong berkata, tindakan itu menimbulkan persoalan mengenai keupayaan PN untuk menghormati kepelbagaian kaum dan agama sekiranya diberi peluang mentadbir negara di peringkat Persekutuan.

Beliau berkata, perkara itu juga perlu diberi perhatian oleh UMNO, MCA dan MIC yang bekerjasama dengan PN dalam pilihan raya Negeri Sembilan sebelum ini.

“BN dan parti komponennya seperti UMNO, MCA dan MIC yang bekerjasama dengan PN di pilihan raya Negeri Sembilan perlu sedar PN sebenarnya merupakan ancaman kepada kemajmukan, kepelbagaian serta ketenteraman dan keamanan negara kita,” katanya dalam kenyataan.

Menurut Rayer, tindakan merobohkan kuil berkenaan bukan penyelesaian terbaik sekiranya terdapat isu ketidakpatuhan yang perlu diselesaikan pihak berkuasa negeri.

“Jika pun terdapat apa-apa ketidakpatuhan yang dilakukan oleh pihak kuil, sebagai sebuah kerajaan negeri, satu cara atau pendekatan yang lebih berhemah patut diambil untuk menyelesaikan masalah Kuil Veeramakaliamman di Bukit Lagi, Kangar,” tegasnya.

Beliau berkata, tindakan itu sebaliknya menimbulkan rasa tidak puas hati, kemarahan dan kegusaran dalam kalangan rakyat, khususnya masyarakat beragama Hindu.

Rayer yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berkata, Perlembagaan Persekutuan menjamin dan melindungi hak rakyat untuk menganuti agama selain Islam yang merupakan agama Persekutuan.

Katanya, prinsip berkenaan perlu dihormati oleh semua kerajaan negeri termasuk pentadbiran PN di Perlis.

“Saya mengutuk dengan sekeras-kerasnya tindakan kerajaan Perikatan Nasional Perlis yang bersifat rasis dan angkuh ini,” tegas beliau.

Dalam pada itu, Rayer mendakwa insiden berkenaan menunjukkan PN tidak sensitif dan bertimbang rasa terhadap masyarakat majmuk, khususnya masyarakat beragama Hindu.

Beliau turut mempersoalkan sama ada Pas dan PN boleh dipercayai untuk melindungi hak masyarakat minoriti seperti penganut Hindu dan agama lain sekiranya mereka mentadbir negara.

Rayer berkata, isu berkenaan sepatutnya menjadi peringatan sebarang tindakan membabitkan rumah ibadat perlu diselesaikan secara berhemah tanpa menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here