KUALA LUMPUR – Pasukan peguam ibu Allahyarham Zara Qairina Mahathir meminta agar semua bentuk perhimpunan aman ditangguhkan sementara sehingga prosiding inkues selesai.
Katanya, permintaan itu juga selaras dengan hasrat ibu allahyarham.
”Kami juga sedia maklum beberapa individu telah ditangkap dan didakwa di mahkamah berhubung ucapan di perhimpunan atau komen di media sosial berkaitan gelombang Justice For Zara.
”Kami dan anak guam kami tidak mahu slogan dan nama Zara dicemari oleh tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kenyataan itu dikeluarkan Peguam Rizwandean M Borhan, Shahlan Jufri, Mohd Syarulnizam Mohd bin Mohd Salleh, Mohd Luqman Syazwan Zabidi, Farrah Nasser dan Elhanan James.
Menurut kenyataan itu lagi, himpunan solidariti boleh diteruskan setelah prosiding inkues selesai sepenuhnya.
Jelas kenyataan itu, buat masa ini, pasukan peguam dan ibu allahyarham meminta semua pihak agar memberi ruang kepada mahkamah untuk menjalankan tugas.
Mereka juga memohon agar semua pihak berhati-hati ketika memberi kritikan dan komen di media sosial tentang prosiding inkues dan buki yang dikemukakan.
Ini penting bagi mengelakkan sebarang risiko subjudis dan gangguan dalam perjalanan prosiding inkues.
Katanya, dengan kesabaran dan kepercayaan kepada proses kehakiman, kebenaran akan terserlah dan keadilan akan dicapai.
Dalam pada itu, mereka juga menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih terhadap sokongan orang ramai melalui perhimpunan aman Solidariti Justice For Zara dan sumbangan dana bagi menampung kos-kos menantikan pakar-pakar dalam pelbagai bidang kepada ibu allahyarham.
















