KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) mengesahkan menerima laporan penuh siasatan membabitkan sejumlah wang yang dikaitkan dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakib dan Setiausaha Politik beliau, Datuk Anuar Mohd Yunus.
AGC dalam kenyataannya hari ini memaklumkan, dokumen tersebut diterima pada Jumaat lepas.
Menurut kenyataan itu, AGC akan meneliti laporan tersebut secara menyeluruh meliputi segenap aspek termasuk aspek keterangan dan elemen pembuktian kes sebelum sebelum sebarang keputusan berhubung pendakwaan jenayah dapat dibuat.
Tambahnya, tindakan pelucuthakan harta kepada Kerajaan Malaysia tanpa pendakwaan terhadap wang tunai tersebut telah oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), selaras dengan peruntukan undan-undang.
“Jabatan ini menegaskan bahawa siasatan dan proses pelucuthakan harta dan pertuduhan jenayah merupakan dua aspek yang berbeza.
“Sebarang keputusan berkaitan kes ini akan dimaklumkan setelah proses penelitian laporan penuh siasatan tersebut selesai.
“Jabatan ini kekal komited untuk memastikan setiap keputusan dibuat secara bebas, telus dan selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya.
Pada 9 September lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata wang tunai berjumlah hampir RM170 juta yang disita agensi tersebut dan dipercayai milik Ismail Sabri kini rasmi menjadi hak kerajaan.
Katanya, wang berkenaan telah dimasukkan ke akaun kerajaan.
Ujarnya, tindakan tersebut diambil selepas Ismail Sabri tidak berhasrat mencabar permohonan pihak pendakwaan untuk melucutkan hak wang itu. -MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN
Siasatan kes Ismail Sabri selesai, SPRM fail permohonan lucut hak RM170j wang sitaan
















