KLUANG – Seorang pemuda maut selepas motosikal ditunggangnya terbabas dan melanggar benteng batu longkang di Jalan Besar di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd Noh berkata, kejadian tersebut berlaku pukul 2.40 pagi melibatkan motosikal jenis Yamaha Y15ZR.
“Siasatan mendapati motosikal terbabit ditunggang seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun datang dari arah Yap Tau Sah menghala ke Taman Sri Kluang.
“Semasa sampai di tempat kejadian motosikal tersebut telah hilang kawalan dan terbabas ke sebelah kiri jalan lalu melanggar benteng batu longkang,” katanya dalam satu kenyataan.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala dan badan sebelum dikejarkan ke Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di sini.
Bagainanpun ujarnya, mangsa meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Merah HEBHK.
Bahrin memberitahu, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987, orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut untuk menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.
Tambahnya, boleh juga menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang iaitu hotline 07-7784222, 07-7766822 atau direct line 07-7784256 atau table DCC 014-365682.- MalaysiaGazette
















