MERSING – Pelapis muda yang mahu dilahirkan sebagai pemimpin berwibawa dan berkaliber pada masa depan perlu mempunyai tiga kriteria utama iaitu impian, keberanian dan ilmu pengetahuan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, pertamanya perlu memasang impian yang akan menjadi pendorong utama dalam memandu dan memacu seseorang mencapai kejayaan.
“Tanpa impian, hidup seolah-olah hilang arah, umpama tidak tahu ke mana hala tuju sama ada ke utara, selatan, timur atau barat.
“Aspek kedua yang penting ialah keberanian untuk berubah dan keluar daripada zon selesa,” katanya ketika merasmikan Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) Ke-27 di Pantai Tanjung Leman, di sini, hari ini.
Menurut beliau, jika sebelum ini agak malas tetapi selepas mempunyai impian perlu melakukan perubahan bagi mengejar impian yang luar biasa.
Katanya, perkara ketiga yang mesti dimiliki ialah ilmu, bukan sahaja dalam bidang akademik tetapi juga ilmu lain yang boleh dimanfaatkan dalam kehidupan.
Johari yakin dengan tiga bekalan itu, golongan muda hari ini mampu menjadi pemimpin berguna untuk negara pada masa hadapan.
“Satu hari nanti mungkin ada dalam kalangan kamu yang akan menjadi menteri pendidikan, ketua menteri negeri atau panglima angkatan tentera. Saya yakin ia boleh lahir daripada generasi ini,” katanya.
Beliau turut menekankan pentingnya generasi muda menghargai peluang menimba pengalaman dalam pengakap sebagai medan membina kepimpinan dan jati diri.
“Inilah masanya untuk kita terus menyampaikan teguran dan nasihat kepada anak-anak. Di hadapan kita hari ini bukan calang-calang orang ada doktor, bekas tentera, pemimpin masyarakat semuanya pernah atau sedang memegang jawatan penting.
“Ada juga yang sudah hampir mencecah usia 80 tahun, namun masih setia dalam pengakap kerana kasih pada pengakap dan sayang pada negara. Harapan kami hanya satu…supaya negara ini dipimpin oleh anak-anak yang bijak dan berwibawa,” katanya.
PAPJ Ke-27 berlangsung bermula 13 hingga 17 September ini menghimpunkan lebih 4,000 pengakap dari dalam dan luar negara.- MalaysiaGazette
















