Dari kiri Hemish, Chieah Shing dan Izhar Zuljafrie teruja menjadi peserta dalam PAPJ Ke-27 Tahun 2025 di Pantai Tanjung Leman, Mersing.

MERSING- Perhimpunan Agung Pengakap Johor (PAPJ) Ke-27 Tahun 2025 yang berlangsung di Pantai Tanjung Leman di sini menjadi medan penyatuan anak muda dari dalam dan luar negara untuk berkongsi ilmu, persahabatan serta kemahiran dalam kepengakapan.

Perkhemahan selama lima hari yang bermula 13 September lalu itu menampilkan pelbagai pengisian sebelum melabuhkan tirai pada 17 September ini.

Rata-rata peserta menyifatkan PAPJ 2025 sebagai platform berharga yang memberi peluang untuk berinteraksi dengan rakan pengakap daripada pelbagai latar belakang dan negara, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan dalam kalangan generasi muda.

Bagi Izhar Zuljafrie Iskandar Zulkarnain, 16, dari Pontian, pengalaman menyertai PAPJ kali ini amat bermakna kerana dapat mendekatkan dirinya dengan rakan-rakan baharu.

“Seronok bila dapat luangkan masa bersama kawan, buat aktiviti sama-sama dan kenal banyak kaum.

“Masa malam kebudayaan, saya belajar tarian pelbagai bangsa dan sedikit sebanyak bahasa mereka. Semua ini rapatkan lagi hubungan dan semangat kerjasama,” katanya yang turut hadir bersama adiknya berusia 11 tahun.

Menurutnya, sejak menyertai pengakap ketika berusia 10 tahun, PAPJ menjadi antara platform terbaik untuk membina keyakinan diri serta memupuk persahabatan tanpa mengenal bangsa dan agama.

“Dalam pengakap, memang tak pernah rasa ada diskriminasi. Semua kawan sangat positif tidak mengira latar belakang dan kita boleh jadi rapat dengan mudah,” ujarnya.

Sementara itu, S Hemish Nair, 18, dari Kelana, Muar, yang pertama kali menyertai PAPJ mengakui pengalaman itu memberi peluang untuknya menimba ilmu sebagai fasilitator muda.

“Pada awalnya saya agak gementar sebab ramai peserta daripada latar belakang berbeza, termasuk dari luar negara. Tapi bila mereka mula menegur dengan mesra, saya rasa lega dan lebih bersemangat.

“Walaupun pertama kali bergelar fasilitator, saya belajar bagaimana pemimpin muda dalam pengakap boleh membimbing rakan-rakan lain dan ini pengalaman yang saya tidak akan lupakan,” katanya.

Peserta Alfred Teoh Chieah Shing berkongsi kenangannya menyertai PAPJ berkata, itu merupakan pengalaman pertama menyertai aktiviti perkhemahan terbesar dan bertaraf antarabangsa sejak menjadi pengakap empat tahun lalu.

Pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Paragon Pasir Gudang itu menyatakan bahawa di sini dia dapat merasai keunikan menerusi persahabatan daripada peserta pelbagai latar belakang.

Katanya, selama ini beliau berada dalam zon selesa sekadar menyertai perkhemahan-perkhemahan kecil dan mengumpul lencana menerusi aktiviti berpengakap tetapi di sini dia didedahkan mengenai ikhtiar hidup sebenar.

“Saya memperkenalkan diri kepada peserta dari negeri lain dan antarabangsa, mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang dan menyambut saya dengan penuh semangat persaudaraan ‘brotherhood’.

“Saya sedang melalui detik perkhemahan yang teruja dengan terlibat dalam aktiviti bersama kawan-kawan Melayu dan India memberi satu perasaan unik iaitu menyatukan kepelbagaian budaya dan tradisi di sini menerusi pengakap,” jelasnya.- MalaysiaGazette

 

Caption gambar: Dari kiri Hemish, Chieah Shing dan Izhar Zuljafrie teruja menjadi peserta dalam PAPJ Ke-27 Tahun 2025 di Pantai Tanjung Leman, Mersing, hari ini medan

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast