Tangkap layar memaparkan kekecohan semasa serbuan dilakukan dalam sebuah pusat hiburan di Johor Bahru, malam tadi

JOHOR BAHRU – Perselisihan faham menjadi punca kekecohan antara beberapa individu semasa pihak polis melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan di pusat bandar raya ini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, kejadian tersebut yang tular dalam media sosial berlaku semasa sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman melalukan serbuan.

“Hasil siasatan mendapati kejadian berlaku antara beberapa individu semasa polis sedang menjalankan pemeriksaan akibat perselisihan faham antara individu terbabit.

“Polis masih mengesan untuk menangkap individu-individu yang terlibat dalam kejadian ini iaitu mangsa dan suspek,” katanya dalam satu kenyataan.

Jelasnya, siasatan dilakukan bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan merusuh, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Dalam pada itu, Raub menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan video atau maklumat yang tidak sahih serta memberi kerjasama dengan pihak polis sekiranya mempunyai maklumat berkaitan kes itu.- MalaysiaGazette

 

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast