JOHOR BAHRU – Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse pula mendakwa menerima ugutan video lucah kononnya membabitkan dirinya yang dikirim melalui satu e-mel tidak dikenali, hari ini.
Beliau yang juga Naib Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor menerima e-mel berunsur ugutan tersebut pada pukul 5.30 petang tadi yang dikatakan video berkenaan mengandungi wajahnya.
“Kononnya video itu ada muka saya yang dipercayai disunting menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI). Ia bertujuan mencemarkan reputasi saya dan memberi tekanan politik.
“Beberapa Ahli Parlimen turut menjadi mangsa serangan siber bermotif ini. Ini sangat merosakkan imej kami sebagai ahli politik,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berharap, polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dapat bertindak segera bagi melindungi maruah mangsa yang difitnah.
Pihaknya akan membuat laporan polis dan aduan kepada pihak MCMC pada pagi esok.
“Saya juga menggesa kerajaan mempercepatkan undang-undang untuk membendung penyalahgunaan teknologi AI.
“Jangan sebar kandungan palsu. Pertahankan integriti politik dan demokrasi negara,” ujar bekas Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan dan Utiliti Johor itu.
Sebelum ini, sembilan wakil rakyat kerajaan dilaporkan menerima emel berunsur ugutan yang disertakan dengan tangkap layar video palsu berasaskan AI, selain menuntut bayaran sebanyak 100,000 dolar AS (kira-kira RM470,000).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil ketika mengesahkan perkara itu berkata, beliau turut menerima emel ugutan yang sama.
Setakat ini, antara yang menerima emel tersebut ialah Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli.
Ini termasuk Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi; Senator Manolan Mohamad; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Wong Chia Zen serta Pengerusi Jawatankuasa Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Selangor, Dr Mohammad Fahmi Ngah.- MalaysiaGazette
















