KUALA LIMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menyiasat tiga kes penularan video di aplikasi TikTok menggunakan akaun @zamanharris82, @no.wad dan satu video yang memaparkan majlis meniru gaya istiadat kerabat diraja.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M Kumar berkata, ketiga-tiga kes berkenaan disiasat Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT), Bahagian D5, JSJ Bukit Aman.
Menurut beliau, kes pertama melibatkan seorang bekas penjawat awam yang menggunakan akaun TikTok @zamanharris82.
Suspek membuat komen berunsur hasutan serta penginaan terhadap kerajaan dan pemimpin negara.
Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Kes kedua melibatkan seorang lelaki menggunakan akaun TikTok @no.wad yang membuat hantaran mempertikaikan kerajaan dalam menangani insiden di Kampung Sungai Baru.
Hantaran tersebut berkemungkinan boleh mencetuskan permusuhan antara kumpulan dalam negara.
Kes itu juga disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948, Seksyen 505(B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi Dan Multimedia 1998.
Menurut M Kumar, polis turut menyiasat penularan video memaparkan satu keluarga yang berpakaian serba kuning dan bertengkolok seperti gaya istiadat kerabat diraja dalam satu majlis aqiqah yang dipercayai menyalahgunakan lambang diraja.
Kes disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Lambang dan Nama (mencegah penggunaan tidak wajar) 1963, Seksyen 505 (B) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Ketiga-tiga kes ini jelas menunjukkan penyalahgunaan media sosial dan kandungan digital yang boleh menimbulkan hasutan, penghinaan serta permusuhan dalam kalangan masyarakat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tambah beliau, PDRM akan mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap mana-mana individu yang terbabit.
Katanya, siasatan menyeluruh sedang dijalankan mengikut peruntukan undang-undang sedia ada. -MalaysiaGazette
















