PASIR GUDANG – Polis menahan seorang lelaki selepas merosakkan mesin ATM dan CDM menggunakan sebatang cangkul dalam kejadian di sebuah bank di Taman Bukit Dahlia, di sini, semalam.
Pemangku Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan G Vikra Mathiththan@Victor berkata, kejadian tersebut dilaporkan seorang lelaki tempatan berusia 56 tahun dan video insiden tersebut berdurasi 15 saat tular dalam media sosial.
“Hasil siasatan awal mendapati kejadian berlaku pukul 7.46 pagi semalam dan bertindak atas maklumat pihak polis Seri Alam telah menangkap seorang lelaki tempatan berusia 54 tahun.
“Turut dirampas adalah sebatang cangkul yang digunakan semasa kejadian dan juga dadah jenis syabu dengan anggaran berat 0.9 gram,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai enam rekod lampau melibatkan kes jenayah dan dadah.
Suspek katanya, ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan hasil ujian air kencing mendapati positif dadah jenis methamphetamine.
Beliau memberitahu, siasatan dijalankan bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Pihaknya meningatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan salah faham dan kegusaran dalam kalangan masyarakat. – MalaysiaGazette
















