KUALA LUMPUR – “Tidak biasa pakai tali pinggang keledar dalam bas”, itu antara alasan yang diberikan penumpang ketika pemeriksaan dalam Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan, di Plaza Tol Sungai Besi arah Selatan, hari ini.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPJ WPKL), Hamidi Adam berkata, penumpang-penumpang tersebut melibatkan tiga lelaki dan seorang wanita tempatan.
Katanya, walaupun pengusaha bas ekpress telah mengambil inisiatif menampal notis peringatan dan menyiarkan rakaman audio bagi peringatan namun pelaksanaannya masih rendah.
“Setiap penumpang yang tidak mematuhi peraturan itu boleh dikenakan saman RM300 dan JPJ akan meneruskan penguatkuasaan pemakaian tali pinggang keledar demi keselamatan pengguna jalan raya,” katanya dalam sidang media selepas operasi di sini hari ini.

Dalam operasi yang sama, terdapat pemandu lori yang membawa tong oksigen dari Petaling Jaya ke Seremban kelihatan resah ketika pemeriksaan dan bertindak memarahi wartawan sewaktu diajukan soalan pada operasi tersebut.
Difahamkan, pemandu lori berusia 27 tahun itu dikesan tidak memiliki Lesen Kenderaan Motor (LKM) dan insurans telah tamat tempoh.

Hamidi berkata, dalam operasi bermula jam 10 pagi itu sebanyak 203 kenderaan perdagangan telah diperiksa dengan 51 kenderaan diambil tindakan.
“Dua kenderaan telah disita kerana kesalahan serius seperti LKM dan insurans tamat tempoh, selain itu kami juga mengeluarkan 132 notis saman melibatkan pelbagai kesalahan seperti Notis P22, PG1, 61(1), 63(3), Notis Sita 64 (1) dan Notis 82.
“Namun kesalahan utama paling tinggi direkodkan adalah Lesen Memandu Kompeten (CDL) tamat tempoh sebanyak 37 kes, Lesen Vokasional tamat tempoh (15), cukai jalan tamat tempoh (19) dan insurans tamat tempoh (17)”
Mengulas lanjut, Hamidi berkata sebanyak 8,225 kenderaan perdagangan telah diperiksa JPJ WPKL bagi tempoh 17 hari pertama Operasi Khas Gempur Kenderaan Perdagangan bermula 1 September lalu.
“Daripada jumlah itu, sebanyak 3,389 adalah kenderaan barangan manakala 4,836 lagi ialah kenderaan perkhidmatan awam dan sepanjang operasi, 575 kenderaan dikenakan tindakan dengan 1,672 notis saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan.

Katanya, operasi yang berlangsung hingga 31 Dissember itu dilaksanakan secara berfokus dan sistematik dengan pemeriksaan teknikal dan dokumen dijalankan di lokasi strategik sekitar ibu kota.
Tegas Hamidi, pihaknya tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pemilik atau pemandu kenderaan perdagangan yang mengabaikan aspek keselamatan jalan raya.
“Langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha JPJ untuk menjamin keselamatan pengguna jalan raya, mengurangkan risiko kemalangan maut, memperkukuh integriti sistem pengangkutan awam dan barangan serta meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap penguatkuasaan JPJ,” katanya. – MalaysiaGazette
















