Jalur Gemilang yang dikibarkan sempena sambutan Hari Malaysia di tapak Pasar Malam Taman Intan, Kluang, semalam

KLUANG – Setiap warganegara mempunyai pelbagai cara untuk menzahirkan patriotik setiap kali tarikh 16 September iaitu tarikh keramat Malaysia dibentuk 62 tahun lalu.

Bagi 200 peniaga pasar malam yang menjalankan perniagaan di sekitar bandar ini semalam, sambutan Hari Malaysia adalah sangat bermakna.

Setiausaha Pertubuhan Kebajikan Peniaga Pasar Malam Kluang, Mohd Kamal Ismail berkata, sambutan diraikan oleh semua peniaga terdiri daripada pelbagai bangsa dan agama yang berniaga di pasar malam di sekitar bandar ini.

Katanya, selama 62 tahun negara Malaysia terbentuk dan berada dalam suasana aman makmur, situasi itu perlu dipertahankan oleh rakyat agar terus berpanjangan.

“Walaupun pernah berlaku detik hitam negara suatu ketika dahulu namun ia perlu dijadikan pengajaran kepada kita semua agar tiada lagi perselisihan faham yang boleh membawa kemudaratan pada negara.

“Justeru itu, melalui sambutan seperti ini ia perlu digunakan untuk menjadikan rakyat di negara ini sentiasa bersatu padu dalam apa juga aktiviti kehidupan harian khususnya ketika mencari pendapatan untuk menyara keluarga masing-masing,” katanya ketika ditemui di tapak Pasar Malam Taman Intan, petang semalam.

Menurut Mohd Kamal, pelbagai acara telah dirancang yang diadakan di tapak Pasar Malam Taman Intan itu yang melibatkan peniaga dan juga pengunjung.

Ujarnya, antara program adalah menghias gerai jualan dengan bendera dari negeri-negeri seluruh negara kerana keseluruhan peniaga datang dari pelbagai negeri termasuk Sabah dan Sarawak.

“Untuk pengunjung, kami sediakan pelbagai acara yang menawarkan hadiah-hadiah istimewa sebagai tanda terima kasih atas sokongan kepada perniagaan kami selama ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast