Penemuan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) dalam sebuah kereta dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

KUALA LUMPUR – Penemuan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) dalam sebuah kereta dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor dipercayai untuk penjualan di pasaran gelap.

Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, nilai harimau itu dianggarkan kira-kira RM250,000 hingga RM300,000.

“Bagaimanapun, kita sedang bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mengenal pasti rangkaian sindiket terlibat susulan tangkapan tiga suspek terbabit.

“Kita juga percaya ia melibatkan sindiket pemerdagangan hidupan liar kerana setiap anggota badan spesis ini mempunyai nilai di pasaran gelap,” katanya dalam kenyataan.

Abdul Kadir menambah, operasi membanteras pemburuan haram sememangnya menjadi fokus utama dalam melindungi Harimau Malaya serta hidupan liar lain yang diancam.

Katanya, ketika ini populasi harimau belang hanya direkodkan di kawasan hutan simpan dan kawasan perlindungan di lapan negeri utama di Semenanjung.

“Antara negeri dikenal pasti sebagai negeri rayauan Pak Belang adalah di Perak, Pahang, Johor, Kelantan, Terengganu, Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan.

“Ini menunjukkan habitat semula jadi harimau kini amat terhad dan tertumpu kepada kawasan perlindungan yang masih mempunyai ekosistem hutan dan sesuai untuk kelangsungan hidup spesies ini,” ujarnya.

Penemuan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris Jacksoni) dalam sebuah kereta dinaiki tiga individu di Felda Tenggaroh, Mersing, Johor.

Selasa lalu, cubaan menyimpan bangkai seekor harimau belang di dalam sebuah kereta jenis Perodua Alza berjaya dipatahkan Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, Mersing dengan menahan tiga lelaki.

Haiwan itu dipercayai diburu secaa haram dan kegiatan tersebut dikesan dalam Operasi Bersepadu Khazanah di Felda Tenggaroh, Mersing yang dijalankan Unit Risikan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Bukit Aman bersama Jabatan Perhilitan Johor.

Komander Pasukan Simpanan Persekutuan Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof dilaporkan berkata, penahanan ke atas kesemua suspek berusia 28 hingga 49 tahun didapati gagal mengemukakan sebarang permit khas untuk memiliki atau menyimpan spesies dilindungi sepenuhnya itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast