JOHOR BAHRU – Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menerima 20 unit ambulans jenis B sumbangan Kementerian Kesihatan (KKM) sekali gus akan meningkatkan kecekapan rawatan kecemasan.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon berkata, penyerahan tersebut merupakan fasa awal daripada keseluruhan 46 unit ambulans baharu yang akan ditempatkan di Johor.
“Daripada jumlah tersebut, sembilan unit adalah ambulans jenis A manakala 37 unit jenis B. Ketibaan 20 unit ambulans pada hari ini adalah penyerahan pertama oleh pihak KKM kepada Johor.
“Sebanyak 20 fasiliti kesihatan termasuk hospital dan klinik kesihatan di bandar serta luar bandar dikenal pasti untuk menerima ambulans berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Tian Soon, antara yang terlibat ialah Hospital Pasir Gudang, Klinik Kesihatan (KK) Bandar Mas, KK Bukit Waha, KK Bandar Penawar dan KK Tenggara.
Selain itu katanya, termasuk KK Jemaluang, KK Seri Menanti, KK Ayer Baloi, KK Pekan Nenas, KK Kulai, KK Yong Peng, KK Ayer Hitam, KK Simpang Renggam dan KK Segamat.
Mengulas lanjut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Yong Peng itu berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan bajet tambahan menerusi beberapa inisiatif khusus yang diumumkan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Antaranya ialah RM3.46 juta bagi pemindahan perkhidmatan Klinik Ibu dan Anak Hospital Sultan Ismail (HSI) serta Pusat Pembekalan Ubat Susulan Setempat (PPUSS), RM1 juta untuk pembangunan Klinik Kesihatan Ibu dan Anak di Gelang Patah serta RM2.02 juta bagi Program Southern Volunteers melibatkan 117 sukarelawan yang membantu di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Pasir Gudang.
Selain itu ujarnya, Hospital Sultan Ismail menerima tambahan RM1 juta untuk peralatan, Hospital Pasir Gudang RM200,000 bagi penyediaan 104 unit katil, manakala Poliklinik Hospital Sultanah Aminah menerima RM100,000.
Menurutnya, pertambahan aset penting seperti ambulans, akses kepada rawatan kecemasan akan menjadi lebih pantas sekali gus membantu mengurangkan risiko komplikasi kesihatan dan menyelamatkan lebih banyak nyawa. – MalaysiaGazette
















