Sebanyak 363 keluarga peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor akhirnya menerima bayaran baki akhir berjumlah RM110.5 juta pada tahun Ini.

KUALA LUMPUR – Selepas menunggu selama lebih 31 tahun, 363 keluarga keluarga peneroka Felda Sungai Buaya di Hulu Selangor akhirnya boleh tersenyum lebar apabila dimaklumkan bakal menerima baki akhir berjumlah RM110.5 juta tahun ini.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar Selangor, Saifuddin Shafi Muhammad berkata, ia susulan syarikat pengurusan tadbir tanah, Murna Jaya Development (MJD) Berhad melangsaikan baki bayaran tertunggak bernilai RM74.2 juta.

Katanya, jumlah itu berjaya dilangsaikan selepas beberapa pertemuan serta serahan dokumen hak milik serta pampasan ganti rugi bermula 2018 melalui inisiatif Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Akhirnya, melalui bantuan serta campur pelbagai pihak, kerajaan negeri dapat menyelesaikan hal yang tertangguh selama ini.

“Kami puas dan bersyukur, namun, rasa ini tidak dapat menandingi kegembiraan 363 keluarga peneroka yang menanti selama lebih 31 tahun.

”Senyum terukir di wajah mereka menceritakan segalanya. Ada antara mereka berusia 80-an dan ramai juga yang telah meninggalkan kita,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette di sini.

Sebelum ini, media melaporkan 363 bekas peneroka menanti bayaran RM1 juta setiap seorang selepas menandatangani Perjanjian Jual-Beli tanah ladang seluas 1,255 hektar dengan MJD pada 1994 bagi pembangunan projek Bandar Sungai Buaya.

Namun sekitar 1998 akibat kemelesetan ekonomi, syarikat tidak berkeupayaan meneruskan projek dan digulungkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2008.

Manakala pada 2018, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor memutuskan kaedah penyelesaian menyeluruh Sungai Buaya.

Dalam pada itu, Saifuddin juga memaklumkan, pelbagai perancangan sedang direncanakan oleh kerajaan bagi Bandar Sungai Buaya dengan lebih baik. -MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast