Joniston Bangkuai (tengah, empat dari kiri) pada majlis pelancaran pakej pelancongan baharu Sabah bersempena Pameran Matta Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR –  Lembaga Pelancongan Sabah (STB berjaya merekodkan jualan tertinggi berjumlah RM5.1 juta pada Pameran Persatuan Ejen Pelancongan dan Penggembaraan Malaysia (Pameran Matta) di sini sekaligus muncul rekod baharu buat pelancongan negeri itu.

Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffrey Jimit berkata, pencapaian itu menyaksikan peningkatan jualan sebanyak 14.2 peratus berbanding penyertaan pada April lalu dan 46.8 peratus lebih tinggi berbanding tempoh yang sama pada September 2024.

Kejayaan itu mengukuhkan lagi kedudukan Sabah sebagai Destinasi Kegemaran Malaysia apabila menerima sambutan yang amat menggalakkan daripada pengunjung.

“Kami berpuas hati dengan sambutan luar biasa pengunjung penyertaan Sabah di Pameran Matta Kuala Lumpur yang mana acara ini  membuktikan tarikan destinasi serta minat yang semakin meningkat terhadap kepelbagaian tawaran pelancongan negeri Sabah.

“Tarikan ikonik Sabah seperti Kundasang, Semporna dan Kota Kinabalu kekal menjadi pilihan utama pelancong selain  pelancaran pakej baharu ini yang menawarkan lebih banyak peluang kepada pelancong untuk meneroka keindahan semula jadi dan menyelami kekayaan budaya dan warisan Sabah yang penuh warna-warni,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Acara dwi tahunan baru-baru ini di di Dewan MITEC itu menyaksikan Sabah mengambil 94 ruang pameran dengan melibatkan penyertaan 40 pengendali pelancongan dan penginapan dari Sabah

Delegasi utama Sabah diketuai oleh Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah merangkap Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai.

Pada acara tersebut, Joniston telah melancarkan tiga pakej percutian baharu iaitu Pakej  Percutian Keluarga, Pakej Percutian Kudat, dan Pakej Percutian Tawau.

Julinus Jeffrey Jimit.

Mengulas lanjut, Julinus berkata, melalui pembelian pakej baharu ini, pengunjung berpeluang untuk menebus rebat tunai istimewa serta barangan edisi terhad STB, tertakluk kepada terma dan syarat.

STB juga berbangga untuk mengukuhkan komitmen terhadap pelancongan lestari melalui penyertaan dalam Pavilion MATTA Eco & Sustainable Tourism Initiative (MESTI).

“Di reruai ini, kami telah menampilkan pelbagai tarikan destinasi serta inisiatif Sabah, sekaligus menunjukkan komitmen kami terhadap pemuliharaan alam semula jadi, pemeliharaan warisan, dan amalan pelancongan mampan.

“Usaha ini penting untuk memastikan generasi akan datang dapat terus menikmati keindahan dan kekayaan budaya Sabah melalui pendekatan bertanggungjawab terhadap pelancongan,” katanya.

Sementara itu, pelbagai aktiviti menarik turut diadakan di Pavilion Sabah, termasuk permainan tradisional, cabaran tarian tradisi dan pengalaman Realiti Maya (VR)  dan juga  persembahan kebudayaan oleh kumpulan tarian Era Budaya.

Penyanyi terkenal dari Sabah, Dabra Sia, turut membuat persembahan selain pengumuman penganjuran Flamewave Music Festival, sebuah acara muzik yang akan berlangsung di Kota Kinabalu pada 25 hingga 26 Oktober depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast