JOHOR BAHRU – Kehadiran masyarakat Sarawak dan Sabah yang bermastautin di Johor dijangka menjadi antara pemangkin utama dalam merancakkan kempen Tahun Melawat Johor (TMJ) 2026 menerusi keunikan budaya masing-masing.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Warisan dan Budaya Negeri Johor, K Raven Kumar berkata, ini kerana dianggarkan lebih 40,000 masyarakat Sarawak tinggal di negeri ini.
Jelasnya, terutama kaum Iban, Bidayuh dan Orang Ulu serta 15,000 masyarakat Sabah termasuk Kadazan Dusun kini menetap di Johor.
“Kebanyakannya di Pasir Gudang. Kepelbagaian budaya komuniti dari Borneo ini dilihat mampu memberi nilai tambah kepada sektor pelancongan negeri.
“Masyarakat Sarawak dan Sabah telah lama menjadi sebahagian daripada keluarga besar Johor dan sumbangan mereka dalam mengekalkan serta memperagakan budaya warisan amat dihargai,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sambutan ulang tahun ke-40 Persatuan Malayalee Johor Bahru (JBMA) di sini semalam.
Katanya, diharapkan agar setiap masyarakat dapat menonjolkan kebudayaan masing-masing dan yakin kepelbagaian tersebut mampu menarik lebih ramai pelancong ke sini.
Menurut Raven, peranan semua komuniti termasuk masyarakat India amat penting dalam menjayakan sasaran kerajaan negeri menarik sehingga 12 juta pelancong dengan potensi hasil lebih RM42 bilion sempena TMJ 2026.
Menurutnya, warisan budaya seperti zapin johor yang diperkenalkan semula baru-baru ini di negeri ini, jelas membuktikan bahawa seni tradisi masih relevan dan mampu menjadi daya tarikan utama.
“Apabila kita mengunjungi mana-mana negara, perkara pertama yang sering menjadi perhatian ialah budaya masyarakat setempat. Begitu juga di Johor, kepelbagaian budaya ini harus sentiasa ditonjolkan kerana inilah tarikan sebenar yang membezakan kita daripada destinasi lain,” katanya.
Raven menambah, kerajaan negeri sentiasa memberikan sokongan dan mengalu-alukan penglibatan masyarakat dari Sarawak dan Sabah untuk terus memperagakan budaya mereka di Johor, sekali gus memperkukuh perpaduan serta merancakkan sektor pelancongan negeri.- MalaysiaGazette
















