MUAR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) menahan empat nelayan tempatan selepas didapati positifi dadah dalam pemeriksaan tujuh vesel di perairan Tanjung Emas di sini dalam dua operasi berasingan.
Pengarah Zon Maritim Batu Pahat, Komander Maritim Mohammad Zaini Zainal berkata, operasi pada 18 dan September lalu itu bermula dari pukul 10 hingga 12 tengah malam.
“Operasi bersepaadu yang melibatkan maritim dan pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) menahan mereka yang berusia antara 40 hingga 50 tahun ditahan.
“Hasil pemeriksaan dan saringan air kencing mendapati empat warga tempatan positif Methamphetamine,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Katanya, semua mereka ditahan dan diserahkan kepada pihak AADK untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih dan Penyalah Guna Dadah dan Bahan (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Menurutnya, dua daripada vesel yang ditahan kemudian dibebaskan dan diserahkan semula kepada pemilik masing-masing.
Operasi tersebut katanya, membabitkan aset maritim iaitu Bot Penggalang 30 dan Bot Petir 85 serta turut disertai 12 pegawai AADK Johor dan AADK Muar.
Dalam pada itu, Mohammad Zaini berkata, pihaknya komited mempergiatkan operasi bersama-sama agensi penguat kuasa lain bagi memastikan perairan negara bebas daripada jenayah termasuk penyalahgunaan dadah.
“Kerjasama ini bukan sahaja memperkukuh keselamatan di laut, malah memberi mesej jelas bahawa tindakan tegas tanpa kompromi akan dikenakan terhadap mana-mana pihak yangmelanggar undang-undang,” tegasnya.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh menyalurkannya melalui talian kecemasan 999 atau menghubungi Pusat Operasi Zon Maritim Batu Pahat di 07-4344020 untuk tindakan segera.- MalaysiaGazette
















