JOHOR BAHRU – Polis menahan seorang wanita yang dipercayai dalang sindiket along, melakukan ugutan jenayah dan khianat dengan api.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, suspek yang berusia 46 tahum itu ditahan pukul 3 pagi 6 September lalu di sekitar daerah ini.
Menurutnya, sebelum itu polis menerima laporan berkaitan kegiatan sindiket along di kawasan Muar dan Kluang yang didalangi seorang wanita tempatan.
“Siasatan awal polis mendapati suspek mula bergiat aktif sejak awal bulan ini dengan menerima bayaran upah pada kadar RM1,300 bagi setiap perbuatan khianat api, termasuk membaling molotov cocktail serta menampal notis ugutan di kediaman mangsa yang gagal membuat bayaran semula pinjaman.
“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mempromosikan pinjaman wang haram melalui laman sosial seperti Facebook dan Tiktok.
“Wang pinjaman terus dikreditkan ke akaun peminjam walaupun terma dan syarat perjanjian belum dipersetujui,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Ab Rahaman berkata, peminjam kemudian dipaksa membayar balik dengan kadar faedah tinggi, antara 20 peratus hingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman.
“Sekiranya gagal membayar, ahli sindiket akan membuat ugutan dan khianat dengan api bagi menakutkan mangsa serta ahli keluarga.
“Sasaran utama ialah warga tempatan yang bekerja di Singapura, manakala transaksi keluar masuk wang dijalankan melalui akaun bank berdaftar di Singapura,” jelasnya.
Katanya, ketika tangkapan dibuat, polis turut berjaya merampas sebuah kereta, telefon bimbit, satu botol mengandungi minyak petrol, nota ugutan dan pelbagai alat tulis yang dipercayai digunakan dalam perlakuan jenayah itu.
Menurut beliau, dengan tangkapan itu, Polis Johor berjaya menyelesaikan tiga kes dengan modus operandi sama masing-masing dua di Kluang dan satu di Muar.
Katanya, kertas siasatan sudah dirujuk ke Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor dan menerima tuduh ke atas suspek dengan lima pertuduhan.
“Tiga pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api, satu pertuduhan di bawah Seksyen 436 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api ke atas rumah, manakala satu lagi pertuduhan di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana ugutan jenayah.
“Semua pertuduhan akan dibuat di Mahkamah Kluang, esok,” katanya.
Dalam pada itu, Ab Rahaman berkata, pihaknya akan terus memperkukuhkan tindakan memerangi sindiket along bagi melindungi masyarakat daripada ancaman jenayah yang didalangi kumpulan terbabit.
“Komitmen ini menjadi bukti keprihatinan polis dalam memastikan Johor sebagai negeri yang selamat untuk didiami dan dikunjungi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak melayari iklan yang menawarkan pinjaman wang secara atas talian bagi mengelakkan menjadi mangsa,” tegasnya. – MalaysiaGazette
















