Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman menunjukkan wajah suspek pada sidang media berkenaan Tangkapan Calling Centre di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2025.

KUALA LUMPUR –  Sindiket penipuan atas talian dan pelaburan mata wang kripto tidak wujud berselindung di sebalik kediaman mewah di ibu negara berjaya ditumpaskan menerusi dua serbuan pada 18 dan 19 September lalu.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, serbuan pertama melibatkan sindiket penipuan atas talian di sebuah kondominium mewah di Lorong Binjai sekitar 4 petang, Selasa lalu.

“Kita menyerbu dua unit kediaman dengan satu unit dijadikan sebagai pusat operasi manakala satu lagi tempat kediaman dan menahan 13 individu warga China termasuk seorang wanita tempatan berusia antara 18 hingga 45 tahun.

“Hasil siasatan awal mendapati, mereka masuk memasuki ke negara ini menggunakan pas lawatan sosial dan sindiket penipuan ini menyasarkan mangsa mangsa dari China,” katanya dalam sidang media hari ini.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Sulizmie Affendy Sulaiman menunjukkan passport yang dirampas pada sidang media berkenaan Tangkapan Calling Centre di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2025.

Pemeriksaan dalam serbuan itu menemukan pelbagai peralatan digunakan aktiviti penipuan termasuk lima komputer riba, 23 telefon bimbit, satu set modem dan kad akses.

Dalam serbuan kedua, Sulizmie Affendy berkata, lima unit kediaman di Persiaran KLCC dilaksanakan sekitar 5 petang selepas menerima maklumat kegiatan penipuan pelaburan mata wang kripto.

“Pemeriksaan lanjut, seramai 10 individu warga asing ditahan membabitkan sembilan lelaki serta seorang wanita berusia antara 25 hingga 30 tahun dan kegiatan itu menyasarkan mangsa di Jepun,” ujarnya.

Antara barang rampasan yang ditunjukkan pada sidang media berkenaan Tangkapan Calling Centre di Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. Foto AIZAT ZAINAL, 22 SEPTEMBER 2025.

Beliau juga memaklumkan dalam operasi itu, pihaknya telah merampas lapan komputer riba, dua monitor, 16 telefon bimbit, dua set modem dan kad akses.

“Kedua-dua sindiket ini beroperasi di kondominium mewah yang disewa secara berkumpulan dengan kadar sewa kira-kira RM7,000 dan sudah mendiami di kediaman itu sejak awal bulan ini.

“Polis juga masih meneliti barangan kes yang dirampas bagi mengenal pasti jumlah kerugian dan transaksi yang dilakukan ke atas kesemua mangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sulizmie Affendu juga meminta orang ramai khususnya penduduk kondominium mewah di ibu negara untuk menyalurkan maklumat sekiranya mengesyaki kehadiran warga asing yang mencurigakan.

“Walaupun mereka menyasarkan mangsa di luar negara, orang awam boleh memberikan maklumat ke IPD Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur 03-2115 9999,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast