Foto FB Perak FC.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 48 bekas pemain, jurulatih dan kakitangan Perak FC terus mendesak pihak pengurusan kelab menyelesaikan tunggakan gaji serta pampasan bernilai lebih RM2 juta yang didakwa masih gagal dilunaskan sejak September tahun lalu.

Bekas tonggak Perak FC, Wan Zack Haikal Wan Noor berkata, mereka kecewa kerana tiada perkembangan positif diterima daripada pihak pengurusan berhubung perkara berkenaan.

“Hari ini kami bertemu wakil (peguam) mereka (pengurusan) di Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Perak dan hasil perbincangan, beliau memaklumkan perlu meneliti kontrak kami sebelum sebarang keputusan dibuat.

“Peguam itu turut memohon penangguhan dengan mengaturkan perbincangan lanjut pada 27 Okt di JTK Perak. Kami harap segala urusan dapat dipercepatkan dan selesai secara baik,” katanya ketika ditemui di perkarangan Stadium Perak di Ipoh, Perak hari ini.

Bekas penolong jurulatih, Shahrulnizam Mustapha berkata, tawaran pembayaran dikemukakan pengurusan tidak sepadan dengan pengorbanan dan tenaga dicurahkan pemain sepanjang berada dalam pasukan.

Shahrulnizam berkata, mereka menunggu maklum balas daripada perbincangan bersama wakil Perak FC sebelum memutuskan tindakan lanjut mengenai isu tersebut.

Pada 27 April lalu, Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Azim Zabidi mengesahkan skuad berkenaan terpaksa menarik diri daripada saingan Liga Malaysia musim 2025/2026 berikutan kekangan kewangan yang meruncing.

Azim turut memaklumkan pihak pengurusan hanya mampu membayar 20 peratus daripada keseluruhan tunggakan gaji kepada pemain dan jurulatih, namun tawaran itu ditolak oleh mereka. – BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast