KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan sambutan terhadap cadangan penubuhan ‘payung besar’ yang menyatukan orang Melayu amat menggalakkan.
Katanya, setiap yang ingin menjad perdana menteri, mendirikan ‘payung besar’ mereka sendiri, sehingga mewujudkan dua, tiga atau lebih ‘payung besar’.
Bagaimanapun, ujar beliau, kewujudan ‘payung besar’ yang lebih daripada satu itu akan menarik orang-orang Melayu dan seperti keanggotaan dalam parti, orang Melayu akan berpecah.
“Maka ‘payung besar’ pun memecah belah orang Melayu.
“Sama-samalah kita berfikir. Hendak ada satu sahaja payung besar atau beberapa payung besar.
“Hendak bersatu atau hendak berpecah.
“Percayalah jika ada lebih dari satu payung besar hasilnya perpecahan dan kekalahan,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.
Sedangkan, tambah Dr. Mahathir, pengundi Melayu mempunyai cukup kawasan untuk menang dan mendirikan kerajaan.
Namun, ujar beliau, bukanlah niat orang Melayu untuk mendirikan kerajaan yang 100 peratus Melayu, sebaliknya seperti Perikatan dahulu yang mana kerajaan campuran boleh didirikan dengan kaum Cina, India dan suku kaum lain.
Sebelum ini, Dr. Mahathir mengumumkan inisiatif baharu untuk menggabungkan orang Melayu di bawah satu payung besar yang dikenali sebagai Jawatankuasa Sekretariat Orang Melayu.
Menurut beliau, gerakan yang tidak bermotifkan politik itu bertujuan menjadi wadah bagi menyelesaikan masalah dan isu dihadapi orang Melayu yang disifatkan gagal ditangani kerajaan hari ini.
Jelas beliau, gerakan atau sekretariat itu juga bertujuan untuk mencari jalan supaya orang Melayu dapat menguasai semula kerajaan.
Ujarnya, apa yang berlaku ketika ini orang Melayu berpecah-belah dan dibezakan dengan fahaman politik sekali gus menyebabkan mereka gagal dalam banyak perkara. – MalaysiaGazette
















