GEORGE TOWN – Lebih 13 juta rakyat Malaysia telah memanfaatkan penebusan ‘one-off’ Sumbangan Asas Rahmah (SARA) sehingga Sabtu lalu.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, jumlah itu merangkumi penebusan penuh dan sebahagian daripada bantuan RM100 yang dikreditkan ke dalam MyKad semua rakyat Malaysia.
“Kalau mereka masih ada baki, boleh gunakan lagi sehingga hujung tahun,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Jelajah Mega e-Invois 2025 (Siri 2) Peringkat Nasional di Menara HASiL di sini, hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL), Datuk Dr. Abu Tariq Jamaluddin.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Julai lalu mengumumkan pemberian RM100 secara sekali beri kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Beliau berkata, pemberian bersempena Hari Kebangsaan 31 Ogos itu, merupakan ikhtiar segera bagi meringankan beban sara hidup, selain sebagai penghargaan kepada rakyat yang memberi manfaat kepada 22 juta penduduk dengan peruntukan RM2 bilion.
“Peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA meningkat daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion untuk tahun ini, dan ini merupakan kali pertama dalam sejarah bantuan tunai disalurkan kepada semua rakyat dewasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















