JOHOR BAHRU – Seorang pembantu tadbir mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini, atas dua pertuduhan memalsukan penyata gaji, Februari dan April, tiga tahun lalu.
Tertuduh, Nurul Nadiah Azlan, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Ariffin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh dengan curangnya menggunakan sebagai tulen penyata gaji Februari dan April 2022 atas nama dirinya berkenaan butiran tunggakan gaji serta elaun kritikal berjumlah RM1,610 yang diketahui merupakan dokumen palsu.
Kesalahan itu dilakukan di Pejabat Majlis Daerah Labis, Segamat, Februari dan April 2022.
Bagi pertuduhan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 465 Kanun sama.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Alice Voon May Ling manakala tertuduh diwakili peguam Nur Zafirah Norizan.
Mahkamah menetapkan 29 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan jaminan RM7,000 dibenarkan kepada tertuduh.- MalaysiaGazette
















