Anthony Loke Siew Fook

PUTRAJAYA – Lima jenis kereta mewah dikesan tidak memperbaharui cukai jalan berjumlah RM35.7 juta, kata Menteri Pengangkutan, Anthony Loke.

Beliau berkata, ia membabitkan 6,360 kereta seperti Rolls-Royce, Ferrari, Bentley, Porsche dan Lamborghini di mana pemiliknya di kalangan orang kenamaan bergelar Tan Sri, ahli politik, golongan usahawan dan selebriti.

“Saya tak nak nyatakan siapa, tak nak nyatakan nama tapi saya pohon mereka, golongan ini supaya menjalankan tanggungjawab mereka kalau kenderaan itu aktif kecuali kenderaan itu dia tak pakai lagi, itu saya tak boleh paksa dia bayar cukai jalan.

“Tetapi kalau kenderaan itu aktif di atas jalan raya sila bayar cukai dan perbaharui cukai jalan mereka itu iaitu lesen kenderaan motor (LKM), sebab kita punya operasi sekarang ini kalau kita tahan kereta mewah itu dan didapati tak bayar LKM, tidak ada insurans kereta itu terus sita,” katanya pada sidang media di kementerian di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony turut mendedahkan terdapat golongan artis telah ditahan sebelum ini dalam operasi yang dijalankan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Namun katanya, alasan yang diberikan individu itu ‘terlupa’ memperbaharui cukai jalan kereta mewahnya selama tiga tahun.

“Jangan kata pula nanti JPJ ini kejam dan hendak memalukan individu namun kita bagi peringatan sekarang kerana semua senarai pemilik ada dalam sistem kita dan saya harap pihak pemilik-pemilik kenderaan ini bagi kerjasama perbaharui cukai jalan mereka.

“Kita hendak bagi mesej kepada pihak dekat luar sana bahawa masing-masing ada tanggungjawab. Tetapi jangan paksa kita ambil langkah yang sangat drastik sampai namakan mereka,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast