JOHOR BAHRU – Seorang pemuda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas tuduhan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan lain minggu lalu.
Tertuduh, Leang Win Son, 32, yang sebelum ini pernah dituduh dalam kes penculikan kanak-kanak perempuan berusia enam tahun di Iskandar Puteri Julai tahun lalu, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin di hadapan Hakim, Madihah Zainol.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun sembilan bulan dengan menyentuh bahagian kemaluan mangsa dari luar di dalam tandas sebuah kopitiam di Taman Iris, Kulai lebih pukul 7.30 malam, pada 14 September lalu.
Pertuduhan dibuat mengikut Sesyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan sebatan jika didapati bersalah.
Timbalan Pendakwa Raya, Nur Farah Wahida Shahudin mencadangkan agar tertuduh tidak dicadangkan sebarang jaminan kerana tertuduh pernah didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada 7 Ogos 2024 di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan iaitu penculikan terhadap kanak-kanak perempuan berumur enam tahun, Seksyen 346 Kanun Keseksaan iaitu pengurungan salah terhadap mangsa sama dan Seksyen 15 (a) (ii) Akta Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 juga terhadap mangsa sama.
“Bagi kesalahan itu, tertuduh masih dalam proses bicara yang dijadualkan berlangsung pada 6 dan 7 Oktober depan. Tertuduh sebelum ini dilepaskan dengan jaminan mahkamah.
“Tertuduh juga pernah dituduh di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana memiliki bahan pornografi kanak-kanak, dan sudah mengaku salah terhadap lima pertuduhan pilihan pada Julai lalu.
“Kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah serius dan berat. Atas faktor itu bantahan jaminan terhadap tertuduh.
“Sekiranya jaminan diberikan terdapat risiko perbuatan akan berulang dalam kalangan masyarakat awam,” hujahnya.
Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh, Nur Zafirah Norizan bagaimanapun memohon mahkamah membenarkan jamin selain meminta tertuduh dirujuk ke hospital psikiatri bagi menjalani pemeriksaan mental.
“Tertuduh ketika ini hanya bekerja membantu ibunya dengan pendapatan RM50 sehari. Tertuduh juga telah memberikan kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang kes mahkamah yang dihadapinya sebelum ini.
“Tertuduh ketika ini dibebaskan dengan jaminan mahkamah selepas membayar wang jamin keseluruhan kes-kesnya sebanyak RM60,000,” katanya.
Mahkamah memutuskan tidak membenarkan jaminan kerana tertuduh terlibat kesalahan lain membabitkan Akta Seksual Terhadap Kanak-kanak.
“Disebabkan mangsa adalah kanak-kanak jadi kepentingan awam perlu dijaga,” tegas Madihah.
Mahkamah menetapkan tarikh 6 Oktober ini untuk sebutan semula kes serta keputusan rujukan tertuduh kepada pemeriksaan mental di hospital psikiatri.
Pada 8 Ogos 2024, bekas Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar dilaporkan berkata, suspek dipercayai mempunyai kecenderungan untuk melakukan salah laku seks terhadap kanak-kanak dan penculikan seorang kanak-kanak berusia enam tahun di Iskandar Puteri itu tidak dilakukan secara rawak.
Beliau dilaporkan berkata, suspek dipercayai memiliki kecenderungan salah laku seks terhadap kanak-kanak berdasarkan rampasan barangan yang dilakukan di rumah suspek. – MalaysiaGazette
















