Xisco Munoz.

ISKANDAR PUTERI – Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Xisco Munoz tidak menolak kemungkinan anak buahnya bakal berdepan aksi sukar berdepan Bangkok United bagi aksi Kumpulan B Kejuaraan Kelab ASEAN (ACC) merebut Piala Shopee di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, esok.

Pengendali kelahiran Sepanyol itu berkata, kelab Thailand itu dilihat memiliki ramai pemain berkualiti dan mampu menghasilkan kejutan kepada skuad Harimau Selatan itu.

Justeru, kesebelasan pemain perlu mengekalkan momentum selain tidak melakukan kesilapan-kesilapan mudah ketika berdepan skuad ‘Bangkok Angels’ itu.

“Siapa juga yang beraksi kali ini perlu memberikan fokus kepada perlawanan dan mengelak melakukan kesilapan-kesilapan mudah.

“Kejayaan mengatasi Sabah dalam saingan Liga Super baru-baru ini, tidak boleh dijadikan ukuran kerana kali ini saingannya berbeza.

“Oleh itu, kesemua pemain diingatkan supaya bersedia dengan corak permainan berintesiti tinggi daripada pelawat yang pastinya mahu ‘mencuri’ mata pada perlawanan ini,” katanya dalam sidang akhbar di stadium tersebut, hari ini.

Sementara itu, Munoz turut meramalkan bahawa corak permainaan yang ditampilkan Bangkok United berkemungkinan besar menyamai dengan corak yang dipamerkan oleh Buriram United.

Bagaimanapun katanya, skuad kendaliannya itu akan tetap berusaha mengatasi serangan-serangan tersebut selain cuba merobek gawang pelawat di sepanjang tempoh 90 minit permainan.

“Ketika menentang Buriram United tempohari, barisan pemain memperaga aksi konsisten sehingga 80 minit permainan sehinggalah kepada baki 10 minit terakhir dan menyebabkan kekalahan pertama kita dalam ACLE (Liga Juara-Juara Asia Elite).

“Namun, kali ini senario itu tidak akan berulang dan kita akan mempersiapkan barisan pemain bagi mengharungi aksi getir ini,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast