KUALA LUMPUR – Lembaga Disiplin Bersatu dijangka memanggil empat pemimpinnya termasuk Datuk Wan Saiful Wan Jan berhubung dakwaan pengumpulan Surat Akuan Bersumpah (SD) untuk menjatuhkan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Sumber MalaysiaGazette memberitahu, keempat-empat ketua bahagian itu disiasat mengikut Fasal 23 Perlembagaan Bersatu yang memperuntukkan kuasa kepada Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) untuk mengambil tindakan tatatertib.
“Mereka didakwa terlibat dalam pengumpulan SD dalam kalangan Ketua-Ketua Bahagian BERSATU di seluruh Malaysia. Ia bertujuan mengusulkan perbincangan mengenai langkah transisi kepimpinan Bersatu, daripada Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada Datuk Seri Hamzah Zainudin.
“Sekiranya mereka didapati bersalah dan melanggar tatacara disiplin parti, mereka berdepan tindakan pemecatan sebagai ahli Bersatu,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Selain Wan Saiful, tiga pemimpin Bersatu yang dipanggil ke Lembaga Disiplin esok ialah Ketua Bahagian Ampang, Mohd Isa Saidi; Ketua Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Mohd Ghazali dan Ketua Bahagian Ipoh Timor, Muhammad Fadhli Ismail.
Sebelum ini, media melaporkan Muhyiddin ketika Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Bersatu mendedahkan wujud usaha pihak tertentu dalam parti itu yang mengutip tandatangan bagi menjatuhkannya sebagai presiden Bersatu itu.
Muhyiddin menegur tindakan berkenaan yang disifatkan bercanggah dengan perlembagaan parti yang seharusnya dipatuhi oleh semua ahli. – MalaysiaGazette
















