JOHOR BAHRU – Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) menuntut kerajaan menjelaskan beberapa perkara susulan pengumuman harga baharu RON95 yang berkuat kuasa 30 September ini.
Presiden MTPN, Datuk Dr Yeo Kok Vui berkata, ini melibatkan jumlah subsidi RON95 tambahan selain berapa besar penjimatan hasil pengurangan ketirisan daripada langkah tersebut.
“Serta sama ada penurunan harga ini bersifat sementara atau berterusan. Tanpa jawapan yang pasti, kebimbangan pengguna bahawa langkah ini hanya bersifat gula-gula politik akan terus wujud.
“MTPN juga mencadangkan kerajaan menerbitkan laporan berkala mengenai keberkesanan pelaksanaan subsidi bersasar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kerajaan sebelum ini mengesahkan pelaksanaan subsidi RON95 secara bersasar dengan harga disasarkan RM1.99 seliter kepada rakyat Malaysia yang layak.
Mereka yang tidak layak akan dikenakan harga pasaran semasa selaras dengan konsep harga dua peringkat.
Sistem ini menggunakan MyKad sebagai pengesahan dan dilaksanakan sepenuhnya selepas sesi latihan serta pemasangan peralatan di stesen minyak selesai.
Mengulas lanjut, Kok Vui bimbang sekiranya masalah timbul semasa pengguna menggunakan MyKad nanti apabila dilaksanakan.
“Bagaimana pula jika sistem bacaan mykad ini gagal berfungsi seperti program bantuan sebelum ini? Adakah pengguna akan dikenakan harga minyak pasaran rm2.50 seliter,” soalnya.
Selain itu katanya, kerajaan wajar mempertimbangkan langkah sokongan lain bagi membantu golongan berpendapatan sederhana yang terhimpit dengan inflasi.
Katanya, mengikut data Kementerian Kewangan, subsidi termasuk bahan api dan bantuan sosial adalah antara komponen terbesar dalam perbelanjaan negara.
Dianggarkan katanya, RM52.8 bilion diperuntukkan dalam Belanjawan 2024 namun subsidi minyak sebelum ini bocor kepada warga asing dan syarikat-syarikat besar.
“Dengan mekanisme baharu menggunakan MyKad, Touch n Go, BonusLink, Setel dan sebagainya, ketirisan ini dijangka dapat dikurangkan dengan ketara, sekaligus memastikan lebih banyak subsidi sampai kepada rakyat yang layak.
“Hak rakyat terhadap subsidi mesti dijaga sepenuhnya. Sebagai suara pengguna, MTPN mengalu-alukan penurunan harga minyak ini, tetapi dalam masa yang sama menegaskan bahawa setiap polisi subsidi perlu memberi kesan jangka panjang, adil, dan benar-benar memanfaatkan rakyat, bukannya pihak lain,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata, MTPN menyambut baik langkah Perdana Menteri mengumumkan penurunan harga minyak RON95 daripada RM2.06 kepada RM1.99 seliter melalui pemberian subsidi tambahan khusus kepada rakyat Malaysia.
Langkah itu ujarnya, dilihat sebagai kelegaan segera kepada rakyat berpendapatan rendah dan sederhana, lebih-lebih lagi dalam suasana kos sara hidup yang terus menekan.
Bagaimanapun ujarnya, MTPN menegaskan bahawa sistem itu mesti dilaksanakan dengan telus, berkesan, dan mesra pengguna.
“Pengguna juga mahu jaminan bahawa data peribadi tidak disalahgunakan serta proses pembelian di stesen minyak tidak menimbulkan kesulitan tambahan.
“Ini terutamanya kepada warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan golongan yang tinggal di kawasan pedalaman,” katanya.- MalaysiaGazette
















