JOHOR BAHRU – Seorang Penolong Jurutera Awam Majlis Daerah Tangkak (MDT) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menerima rasuah bernilai RM800, empat tahun lalu.
Tertuduh, Nurkhalis Senin, 40, membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan dihadapan Hakim, Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail.
Mengikut kertas pertuduhan, Nurkhalis bersetuju menerima wang bernilai RM800 daripada seorang kontraktor menerusi transaksi atas talian, sebagai balasan yang membabitkan kerja-kerja membaik pulih kerosakan rumah bagi Program Pembasmian Kemiskinan Bandar (PPKB) Fasa ke dua tahun 2020.
Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rais Adha Ramli mencadangkan jaminan sebanyak RM10,000.
Bagaimanapun Peguam, Suhaila Shafiuddin yang mewakili tertuduh memohon jaminan yang rendah kerana anak guamnya mempunyai prestasi kerja yang baik dan pernah memenangi Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) pada tahun 2013.
“Tertuduh berpendapatan RM4,000 sebulan, sudah berkahwin serta masih bekerja dan mempunyai rumah di Tangkak. Tertuduh juga telah memberi kerjasam penuh sepanjang kes disiasat sejak tahun 2021,” katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin warga tempatan dan menetapkan tarikh 24 Oktober depan sebagai tarikh sebutan semula untuk serahan dokumen. – MalaysiaGazette
















