Polis menyita sebuah bot fiber, kereta dan beberapa peralatan lain di sebuah jeti berhampiran Sungai Sanglang, Jalan Tebing Kiri, Ayer Baloi, Pontian, hari ini.

PONTIAN – Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 2 mematahkan cubaan menyeludup rokok bernilai RM225,600 dalam serbuan di sebuah jeti berhampiran Sungai Sanglang, Jalan Tebing Kiri, Ayer Baloi, di sini, hari ini.

Ketua Polis Johor, Komisioner Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, sepasukan pegawai Unit Risik Marin bersama-sama Bot Ronda RH71 melakukan intipan serta pemantauan sebelum menyerbu pukul 4 pagi dan menahan tiga individu.

“Hasil serbuan, polis berjaya menahan tiga lelaki tempatan berusia 19 hingga 69 tahun serta menemui sejumlah bungkusan berwarna hitam berisi rokok tidak berkastam yang diletakkan di tepi jeti.

“Pemeriksaan lanjut dalam sebuah kereta turut menemui beberapa bungkusan rokok tidak berkastam di bahagian tempat duduk penumpang hadapan, belakang dan dalam but,” katanya dalam kenyataan.

Ab Rahaman berkata, pihaknya merampas 840 karton rokok keretek dan 100 karton rokok putih selain menyita sebuah bot fiber dan sebuah enjin sangkut jenis Yamaha 85hp.

Katanya, semua suspek ditahan bersama-sama barang rampasan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian untuk tindakan lanjut.

“Polis Johor komited membanteras kegiatan penyeludupan rokok tidak berkastam kerana boleh mendatangkan kerugian besar kepada negara dan masyarakat.

“Orang ramai diseru supaya menyalurkan maklumat mengenai sebarang aktiviti menyalahi undang-undang bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam sentiasa terpelihara,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast