DATUK Seri Anwar Ibrahim ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 semalam. - Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tatakelola Nasional (JKKTN) Siri 7 semalam bersetuju dengan pelaksanaan sistem televisyen litar tertutup (CCTV) berteknologi tinggi di pusat tahanan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan lokap Agensi AntidadahKebangsaan (AADK) di seluruh negara.

Perkara itu dimaklumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempengerusikan mesyuarat tersebut yang turut memberi perhatian serius dalam usaha meningkatkan kecekapan agensi penguatkuasaan bagi memastikan keselamatan tahanan terpelihara.

Menurut Anwar, pelaksanaan itu merupakan inisiatif strategik kerajaan selaras dengan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dalam memenuhi keperluan semasa agensi penguatkuasaan menghadapi cabaran keselamatan serta memperkukuh pemantauan terhadap kawasan tahanan.

Selain itu, tambah beliau, kerajaan turut memandang serius insiden berulang melibatkan pencerobohan bot nelayan asing di perairan negara yang bukan sahaja melanggar kedaulatan maritim negara, bahkan menyebabkan ketirisan hasil laut negara yang menjejaskan ekonomi dan sumber rezeki nelayan tempatan.

“Atas keprihatinan dan pendirian Kerajaan untuk tidak berkompromi dalam isu kedaulatan perairan negara, mesyuarat bersetuju supaya isu-isu melibatkan perairan negara diatasi melalui usahasama strategik antara Malaysia dan negara-negara terlibat,” katanya menerusi laman sosial Facebook beliau hari ini.

Tambah Anwar, reformasi dasar dan perundangan yang dipersetujui itu mencerminkan iltizam kerajaan dalam memastikan perkhidmatan awam sentiasa responsif terhadap keperluan keselamatan negara serta mendukung prinsip kecekapan, ketelusan dan keberkesanan dalam tatakelola sektor awam.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, (NACS) 2024-2028 mencadangkan sistem CCTV di lokap dinaik taraf, termasuk menggunakan kecerdasan buatan (AI) yang dihubungkan ke pusat kawalan.

Menurutnya, ia bagi mengurangkan kejadian-kejadian yang tidak diingini. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast