JOHOR BAHRU – Hospital Sultanah Aminah (HSA) yang merupakan institusi perubatan tertua dan antara yang utama di Johor akan tampil dengan wajah baharu dan lebih selesa tidak lama lagi selepas siap dinaik taraf dan kemudahannya ditambah.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian soon berkata, proses naik taraf wad di Tingkat 5 bangunan induk HSA yang sudah siap sepenuhnya.
“Wad baharu ini lebih terang, luas, dan selesa, lengkap dengan sistem pendawaian elektrik dan bekalan oksigen yang baharu.
“Kontraktor dijadualkan menyerahkan projek ini kepada pihak hospital pada 28 September ini.
“Selepas itu, pihak hospital akan memindahkan pesakit dari wad lain ke wad Tingkat 5 sebagai persediaan bagi kerja-kerja naik taraf seterusnya,” katanya dalam kenyataan.
HSA dibina pada 1938 bagi menggantikan Hospital Besar Johor Bahru yang dibina di daerah ini pada tahun 1882.
HSA sudah melalui beberapa fasa penambahbaikan bagi memberi perkhidmatan terbaik dan kini merupakan sebuah hospital kerajaan yang tertua serta telah beroperasi selama lebih daripada 140 tahun.
Tian Soon berkata, katil lama di wad-wad HSA juga sudah digantikan dengan yang baharu melibatkan jumlah 1,000 buah katil.
Menurutnya, menerusi sokongan padu syarikat sosial, pertubuhan kebajikan serta orang ramai, sasaran asal untuk mengumpul 969 buah katil di HSA berjaya dilakukan malah sudah melepasi sasaran.
“Sehingga kini, lebih 1,000 buah katil berjaya dikumpulkan, yang mana 830 daripadanya telah dihantar, bersamaan lebih 80 peratus katil telah digantikan dengan yang baharu.
“Ketika lawatan saya, petugas kesihatan memaklumkan keadaan wad kini jauh lebih baik, operasi kerja menjadi lebih mudah dan mereka amat menghargai inisiatif ini,” ujarnya.
Menurut mereka kata Tian Soon, ini adalah kali pertama HSA menerima penggantian katil secara besar-besaran.
Para pesakit katanya, turut menyedari perbezaan tersebut dan berterima kasih kerana kini dapat berehat dalam persekitaran yang lebih selesa dan bersih.
“Di wad kanak-kanak, kesemua katil telah digantikan baharu sepenuhnya dan para ibu bapa yang menjaga anak-anak juga melahirkan rasa syukur dan terima kasih,” katanya.
Secara keseluruhan katanya, HSA mempunyai 1,206 buah katil tetapi bagi memberi laluan kepada kerja-kerja naik taraf, empat buah wad melibatkan 117 buah katil perlu dihentikan operasi buat sementara.
Jelasnya, situasi itu menyebabkan kekurangan katil, namun pihak hospital telah mengambil langkah segera seperti menambah katil di wad sedia ada serta menggunakan ruang lain untuk menempatkan katil tambahan.
Justeru, beliau berharap orang ramai dapat bersabar dan memahami keadaan itu.
“Setelah kerja-kerja naik taraf siap kelak, hospital ini akan tampil dengan wajah baharu untuk memberikan perkhidmatan yang lebih berkualiti kepada para pesakit.
“Saya sekali lagi mewakili pihak hospital, kerajaan negeri serta para pesakit mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penyumbang dan pihak yang terlibat,”katanya.- MalaysiaGazette
















