KUALA LUMPUR – Tiga pensyarah Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terseranai dalam kelompok dua peratus saintis terbaik dunia berdasarkan pangkalan data bibliometrik terkini.
Tiga pensyarah tersebut adalah Profesor Dr. Erween Abd Rahim dan Profesor Madya Dr. Ong Pauline dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) serta Profesor Madya Ts. Dr. Lee Te Chuan dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP).
UTHM dalam kenyataannya berkata, senarai berprestij itu menilai lebih sejuta penyelidik dari seluruh dunia berdasarkan impak penerbitan, sitasi dan sumbangan kepada komuniti akademik global.
Katanya, ia juga bukti keunggulan UTHM dalam bidang penyelidikan dan inovasi, sejajar dengan aspirasinya menjadi peneraju teknikal bertaraf dunia.
Naib Canselor UTHM, Profesor Dr. Mas Fawzi Mohd Ali berkata, pencapaian itu adalah cerminan komitmen universiti dalam memperkukuh budaya penyelidikan berimpak tinggi.
“Ini bukti bahawa warga penyelidik UTHM bukan sahaja aktif dalam menghasilkan penemuan baharu, malah diiktiraf pada peringkat global atas sumbangan mereka,” katanya yang turut menzahirkan penghargaan beliau kepada semua penyelidik terbabit.
Tambah beliau, UTHM akan terus menyokong pembangunan penyelidikan melalui penyediaan fasiliti, geran penyelidikan, jaringan kolaborasi dan program pembangunan bakat.
Sementara itu, Prof. Erween, salah seorang pensyarah tersebut berkata beliau amat bersyukur kerana sekali lagi diiktiraf sebagai antara saintis terbaik dunia berdasarkan senarai “Stanford University Top 2% Scientists” bagi tahun 2025.
“Pengiktirafan yang disahkan oleh Elsevier dan Stanford University ini memberi peluang kepada saya untuk mengekalkan kedudukan selama lima tahun berturut-turut sejak 2021,” katanya.
Kejayaan itu juga selaras dengan aspirasi UTHM untuk menjadi antara universiti teknikal terunggul, yang menyumbang secara signifikan kepada agenda pembangunan negara melalui inovasi dan penyelidikan bertaraf dunia. -MalaysiaGazette

















ada juga pensyarah uthm yang ambil rasuah dengan grant kerajaan.. ada yang baik ada yang teruk