Seorang anggota tentera membuat pembelian petrol RON95 pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 ketika tinjauan di BHPetrol Pernama, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2025

KUALA LUMPUR – Angkatan Tentera Diraja Malaysia (ATM) menjadi antara kumpulan pertama menikmati pelaksanaan Program Budi Madani RON95 (BUDI95) dengan pengisian petrol pada harga RM1.99 seliter bermula hari ini.

Menurut Prebet Farhan Yunus, 20, dari Kem Sungai Besi, beliau teruja apabila berpeluang menjadi antara individu pertama yang merasai pengalaman yang mana pengesahan kad pengenalan diri dan lesen memandu yang sah menjadi syarat utama pembelian petrol bersubsidi di bawah program tersebut.

Tambahnya, meskipun terdapat syarat tambahan untuk membeli RON95 berbanding sebelum ini namun prosesnya lancar dan cepat.

“Gembira sebab jadi golongan pertama yang isi minyak berharga RM1.99 seliter. Minyak dapat lebih banyak dan lebih senang untuk isi minyak menggunakan MyTen (kad pengenalan diri bagi anggota tentera).

“Pada saya proses ini amat mudah, cepat dan lancar bagi pengguna biasa,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette di sini hari ini.

Sementara itu, Leftenan Muda Muhamad Sharizal Zaidi berpendapat, proses pelaksanaan BUDI95 sangat mesra pengguna di samping memberikan penjimatan ketara setiap kali pengisian petrol.

“Bagi saya proses ini mesra pelanggan. Ia masih lagi melibatkan proses yang sama untuk isi minyak cuma perlu keluarkan MyTen dan dapat diskaun. Proses ini memudahkan dan bagus untuk diperkembangkan lagi,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalamannya membuat perbandingan jumlah petrol yang diisi sebelum dan selepas pelaksanaan skim tersebut.

“Sebelum ini saya isi RM10 dapat kurang daripada 5 liter, sekarang ini lebih 5 liter. Banyak juga peningkatannya malah membantu sedikit sebanyak saya sebagai rakyat,” jelasnya.

Menurutnya, langkah pengurangan harga minyak melalui BUDI95 amat penting kerana petrol merupakan keperluan asas majoriti rakyat.

“Kita sedia maklum petrol adalah keperluan asas semua masyarakat di mana pengurangan harga minyak ini membantu saya yang banyak bergerak menggunakan kenderaan,” katanya lagi.

Kapten Adzrul Amirulshah bercakap ketika ditemubual pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 ketika tinjauan di BHPetrol Pernama, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2025

Sementara itu, Kapten Adzrul Amirulshah dari Markas Medan Barat Tentera Darat turut mengakui penggunaan MyTen (kad pengenalan Tentera) pada awalnya agak sukar, namun menjadi mudah dengan sokongan aplikasi.

“Pada mulanya menggunakan MyTen itu agak sukar sebab tidak biasa, tapi sekarang dengan ada aplikasi dan sebagainya akan jadi mudah. Jadi untuk permulaan pakai MyTen itu bagi mengenalpasti kita layak mendapat BUDI95 yang dilancarkan,” jelasnya.

Beliau menambah, meskipun perbezaannya tidak terlalu besar, impaknya tetap dirasai kerana ia mengurangkan beban sara hidup.

“Memang ada perbezaan tidak begitu ketara tapi cukup untuk mengurangkan beban yang sedia ada,” katanya.

Justeru, Kapten Adzrul turut mengingatkan bahawa jumlah kuota minyak mungkin berbeza mengikut corak penggunaan masing-masing.

“Ia akan dapat membantu ramai rakyat yang menggunakan petrol untuk ke destinasi harian, jadi memang ada impak kepada penggunaan rakyat dan dapat mengurangkan beban rakyat.

“Kalau untuk mereka yang menggunakan minyak sebagai salah satu cara pergi kerja ulang alik memang tidak cukup, sebab ikut kepada penggunaan masing-masing,” katanya.

Lans Koperal Furqhan Mohd Rafi bercakap ketika ditemubual pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 ketika tinjauan di BHPetrol Pernama, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2025

Dalam pada itu, Lans Koperal Furqhan Mohd Rafi pula menyifatkan proses pengisian minyak di bawah skim BUDI95 ini sangat mudah.

Menurutnya lagi, walaupun pengurangan tidak terlalu besar, ia tetap memberi kesan positif dalam pengurusan kewangan bulanan.

“Bagi saya pembelian RON95 melalui BUDI95 tidak susah cuma tunjuk MyTen dan buat pembayaran di kaunter dan terus boleh isi minyak.

“Bagi saya minyak ini tidak banyak pengurangan tetapi membantu dari segi kewangan dan murah daripada sebelum ini. 300 liter sebulan itu banyak bagi saya. Memang ada beza tidak banyak tapi bawa perbezaan yang agak besar juga kepada saya,” jelasnya.

Seorang anggota tentera membuat pembelian petrol RON95 pada hari pertama pelaksanaan BUDI95 ketika tinjauan di BHPetrol Pernama, Kem Perdana Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto SADIQ SANI, 27 SEPTEMBER 2025

Turut berkongsi pandangan, Koperal Mohd Shazrin Mohd Sarbi yang berkata pengurangan harga petrol ini membantu mengatur bajet isi rumah dengan lebih baik.

“Pengisian minyak RON95 itu lebih banyak daripada biasa, jadi bajet untuk isi minyak itu berkurang sedikit. Bagus untuk mengurangkan kos sara hidup di negara ini,” katanya.

Katanya lagi, skim ini memberi peluang rakyat merancang perbelanjaan lebih teratur sekali gus meringankan tekanan hidup.

“Teruja dan kita boleh bajet untuk tentukan kos sara hidup kita dimasa akan datang dan dari segi kewangan kita boleh atur sebab kos minyak sudah berkurangan.

“Tidak ada isu, jadi ini penghargaan kepada kerajaan dalam mengurangkan kos sara hidup rakyat, tidak semua kos sara hidup rakyat sama. Yang mana tinggi itu boleh rendahkan sedikit beban sara hidup,” ujarnya lagi.

Untuk rekod, kira-kira 300,000 anggota tentera dan polis menikmati subsidi petrol RON95 pada harga RM1.99 berbanding harga pasaran semasa RM2.05 seliter, menerusi inisiatif BUDI95 yang mula dilaksanakan tengah malam ini.

Golongan berkenaan merupakan peringkat pertama menikmati subsidi petrol itu selaras dengan pengumuman yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 22 September lepas, tentang sistem subsidi bersasar petrol RON95 yang diberi secara berperingkat kepada rakyat. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast