KUALA LUMPUR – Polis sedang giat mengesan pemandu kereta Perodua Myvi didakwa menyebabkan seorang penunggang motosikal kemalangan di Jalan Alam Sari, Kajang, Kajang, semalam.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazaron Abdul Yusof berkata, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1.30 tengah hari menyebabkan mangsa cedera di jari dan lutut kanan.
“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa kereta suspek bertindak memotong barisan kenderaan secara berbahaya dari Jalan Alam Sari.
“Kemudian datang sebuah motosikal dipandu mangsa dari arah bertentangan dan melanggar motosikal tersebut menyebabkan lelaki itu terjatuh,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan itu katanya, kes akan disiasat Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu merbahaya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kes ini diminta menghubungi pegawai penyiasat, Zaharin Taib di talian 019-3126746 bagi membantu siasatan polis,” ujarnya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi 19 saat memaparkan kereta Perodua Myvi berwarna putih dipandu secara melulu ketika cuba memotong kenderaan lain di laluan sempit. – MalaysiaGazette















