Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution menyampaikan ucapan ketika hadir ke perhimpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri di KDN Putrajaya. Foto Hari Anggara, 30 SEPTEMBER 2025.

PUTRAJAYA – Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) tidak perlu bimbang berhubung dakwaan pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya sekiranya proses yang dilakuan berlandaskan undang-undang sedia ada.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, dalam isu berkaitan pelanggaran Artikel 22 Kod Disiplin FIFA (FDC) ukuran utama yang harus dilihat adalah sejauh mana proses itu mematuhi Perlembagaan Persekutuan.

“Kalau kamu (FAM) buat benda yang betul. Ya, apa ukuran benda betul? Ikut Perlembagaan Persekutuan tak?

“Ikut akta atau undang-undang yang ada, ikut Perlembagaan Persekutuan Perkara 19, Akta Kelahiran Seksyen 10A. Itu asasnya,” katanya ketika berucap dalam Himpunan Bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.

Pada 26 September lalu, FAM bersama tujuh pemain kebangsaan dikenakan tindakan oleh Jawatankuasa Tatatertib Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selepas didapati melanggar Artikel 22 FDC berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataannya memaklumkan, FAM didapati menyerahkan dokumen dipalsukan dalam urusan kesahihan kelayakan pemain bagi membolehkan mereka diturunkan dalam perlawanan rasmi.

Tujuh pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui serta Hector Alejandro Hevel Serrano.

Hasil siasatan, Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM perlu membayar denda sebanyak CHF350,000 (RM1.8 juta).

Setiap pemain pula dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan, berkuat kuasa serta-merta.

Saifuddin Nasution berkata, semua dokumen dan proses yang dikemukakan kepada pihak kerajaan sudah melalui penelitian Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) serta Kementerian Dalam Negeri (KDN).

“Kita tengok semua itu, bahagian semak malah Ketua Pengarah JPN pun puas hati. Tengok semua, maka bahagian kita semua ikut tertib, kita jelaskan begitu,” ujarnya.

Sementara itu Saifuddin Nasution mengingatkan supaya tidak ada pihak yang cuba memutarbelit fakta atau mereka perkara yang tidak wujud bagi mengelirukan rakyat. – MalaysiaGazette daripada FIFA sebelum mengemukakan rayuan mengikut proses dan lunas undang-undang sedia ada. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast