SEPANG – Kesemua kapal sukarelawan Misi Global Sumud Flotila (GSF) telah memasuki Zon Kuning 2 (Yellow Zone 2) pukul 3 petang waktu Malaysia dan berada pada jarak 227 batu nautika dari persisiran Gaza.
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Coman Center (SNCC), Datuk Dr Sani Araby Abdul Alim berkata, pihaknya menjangkakan misi Flotila akan memasuki Zon Merah dalam masa 28 jam iaitu pukul 7 malam esok.
Setakat ini, tiada laporan serangan atau aktiviti dron yang mencurigakan dilaporkan semalam dan kesemua delegasi Malaysia berada dalam keadaan baik serta sihat.
“Semuanya tertakluk kepada kelajuan bot dan keadaan cuaca di sana juga alhamdulilah baik, ketika ini bot paling depan menunjukkan kelajuan ditahap 4.9 knot dan ia jangkaan yang baik.
“Zon Merah terbahagi kepada tiga zon iaitu zon merah 3, zon merah 2, zon merah 1 dan saya percaya apabila masuk zon tersebut ia menandakan bermula perhatian penuh dan dikategorikan sebagain zon kritikal.
“Bila-bila masa mereka boleh dipintas selalunya pada waktu malam, melihat kepada corak yang berlaku pada kapal Madleen, Handalah dan Mavi Marmara. Bagaimanapun jangan putus asa dan terus berdoa,” katanya dalam sidang media harian SNCC di sini hari ini.

Tambah beliau lagi, SNCC juga akan menyiarkan siaran langsung rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari kapal terpilih sebagai langkah keselamatan di laman tracker rasmi Sumud Nusantara https://magic.mapim.dev/sumudnusantara.
Mengulas lanjut, katanya, terdapat dua kapal Flotilla iaitu Nusantara (Tunisa) dan Taigate (Itali) mengalami kerosakan yang serius serta tidak dapat meneruskan pelayaran ke Gaza.
“SNCC juga menerima laporan kapal Sirius dan Free Willy mengalami kerosakan, bagaimanapun berjaya dibaiki dan telah meneruskan pelayaran. Manakala kerosakan kapal Fair Lady menyebabkan kapal itu sedang ditunda oleh kapal Estrella Manuel dan akan meneruskan pelayaran sehingga akhir.
“Kita turut mengesahkan bahawa kehadiran dua kapal iaitu Sunflower serta Australe dari Turkiye adalah delegasi bukan kapal pemantau selain menolak spekulasi menyatakan bahawa mereka kapal laut tentera Tukiye,” jelasnya.

Sani Araby turut mengingatkan orang ramai supaya hanya merujuk pusat itu sebagai sumber maklumat sahih dan tidak terpengaruh dengan sebarang spekulasi yang boleh melemahkan solidariti antarabangsa terhadap perjuangan Gaza.
“Objektif utama flotilla adalah menghentikan perang, menamatkan kebuluran yang semakin meruncing serta mendesak agar koridor kemanusiaan Rafah dibuka sepenuhnya untuk membolehkan bantuan antarabangsa disalurkan tanpa halangan,” ujarnya. – MalaysiaGazette
















