PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyerahkan urusan pendakwaan terhadap Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas wang tunai lebih RM169 juta milik bekas perdana menteri itu dilucutkan hak.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki berkata, beliau dan pasukannya sudah melaksanakan tugas untuk memulih dan mengembalikan aset negara kepada kerajaan.
“Saya hanya menunggu daripada peguam negara sama ada kesnya (Ismail Sabri) nak diteruskan untuk menuduh ataupun tidak, itu sahaja.
“Terpulang kepada beliau tapi sebagaimana pemulihan aset, kita sudah jalankan tugas kami, semua aset sudah dikembalikan,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian pada Majlis Sambutan Ulang Tahun SPRM ke-58 dan Peluncuran “Keep Malaysia Clean” (KMC) yang disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Puspanita Puri.
Turut hadir, Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Terdahulu, media melaporkan, Hakim Mahkamah Sesyen di sini, Suzana Hussin pada Rabu memutuskan wang tunai RM169 juta didakwa milik Ismail Sabri dilucutkan hak kepada Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 41(1) Akta SPRM.
Wang berkenaan melibatkan RM14,772,150; SG$6,132,350; AS$1,461,400 dan CHF3 juta (franc Swiss); EUR12,164,150; JPY363,000,000 (Yen); £50,250 (Pound Sterling); NZ$44,600; AED34,750,000 (dirham Emiriah) dan AUD352,850.
Perintah itu dikeluarkan kerana tiada pihak ketiga yang berkepentingan hadir bagi mencabar prosiding melucutkan hak harta terbabit.
Pada 8 September lalu, Ismail Sabri dan bekas Setiausaha Politiknya, Datuk Mohammad Anuar Mohd Yunus memaklumkan kepada mahkamah bahawa mereka tidak berhasrat mencabar permohonan pendakwaan untuk melucutkan hak wang tunai yang disita SPRM.
Mahkamah turut mengeluarkan warta pihak ketiga kepada mana-mana orang yang mempunyai kepentingan ke atas wang itu. – MalaysiaGazette
















