SHAH ALAM – Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor berjaya menumpaskan empat sindiket dadah bernilai RM8.4 juta di sekitar Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sabak Bernam dan Kajang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, keempat-empat sindiket berkenaan dipatahkan menerusi serbuan berasingan yang dilakukan pada 23 hingga 29 September yang lalu.

Menurut beliau, turut ditangkap tiga lelaki tempatan dan dua lelaki warga asing berumur 25 hingga 42.

“Dalam beberapa siri serbuan kali ini, pihak polis berjaya merampas dadah jenis ketamin sebanyak 63.7 kilogram (kg), ekstasi (27.2 kg), bunga ganja (12.3 kg) dan syabu (2.5 kg),” katanya ketika sidang media di Mes Pegawai Kanan di IPK Selangor hari ini.

Katanya, serbuan pertama pada 23 September di KLIA2 jam 7.25 pagi, apabila polis menangkap lelaki tempatan dalam keadaan mencurigakan dengan beg bagasinya.

“Hasil pemeriksaan bagasi tersebut menyandungi dadah jenis bunga ganja berjumlah RM432,000 dipercayai untuk dihantar ke luar negara,” katanya.

Manakala, serbuan kedua dilakukan pada jam 7.30 malam hari yang sama.

Shazeli berkata, JSJN Daerah Sabak Bernam menjumpai dua bungkus ekstasi bernilai RM4.3 juta di dalam sebuah kenderaan jenis Perodua Alza di sekitar Sekinchan.

“Hasil siasatan dan maklumat risikan pada 26 September jam 1030 malam, polis menangkap seorang lelaki tempatan di sekitar Wangsa Maju dipercayai suspek iaitu lelaki tempatan, 33 tahun bekerja dengan syarikat kurier yang lari meninggalkan kereta tersebut,” tambahnya.

Katanya, serbuan seterusnya dilakukan pada 24 September di parkir pangsapuri sekitar Kajang Selangor.

“Dua lelaki warganegara asing ditangkap sedang memunggah dua beg dari sebuah rumah ke dalam bonet kereta jenis proton Saga. Beg tersebut mengandungi ketamin 47 kg,” demikian tambah Shazeli.

Sementara itu ujarnya, serbuan terakhir menemui parcel berisi syabu yang disorok di dalam ekzoz motorsikal seberat 2.5 kg.

“Pada 26 September bungkusan itu diserahkan daripada pihak Polis Bantuan Pos Malaysia International Hub KLIA. Hasil siasatan polis menangkap seorang lelaki tempatan sekitar rumah di Hulu Langat dipercayai suspek yang mengirim parcel berkenaan melalui syarika kurier untuk dihantar ke luar negara,” katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, kesemua suspek direman tujuh hingga 14 hari di Bawah Seksyen 117 Kanun tatacara Jenayah.

Kes disiasat di Bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika disabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang daripada 12 kali.-MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast