KUALA LUMPUR – Aktivis undang-undang hak asasi manusia berpendirian, kerajaan boleh mengemukakan aduan kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) bagi membolehkan tindakan diambil terhadap rejim Israel yang menahan secara salah rakyat Malaysia yang menghantar bantuan kemanusiaan di Gaza.
Fahmi Abd. Moin memberitahu Malaysia Gazette, penahanan itu melanggar undang-undang antarabangsa kerana para sukarelawan itu terlibat dalam misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), bukan melakukan jenayah di perairan antarabangsa.
Menurut beliau yang merupakan salah seorang peguam yang menganggotai Pusat Penyelidikan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA), Israel bertindak menghalang kapal-kapal Flotilla menghampiri Gaza dan menahan sukarelawan.
“Kerajaan boleh membuat aduan kepada ICC atas alasan rejim berkenaan melakukan jenayah terhadap isu kemanusiaan,” ujarnya kepada portal ini ketika dihubungi di Amman, Jordan hari ini.
Fahmi merupakan salah seorang daripada lima peguam CENTHRA yang berlepas ke negara itu kelmarin bagi memastikan kepentingan sukarelawan Malaysia khususnya dari sudut perundangan terjamin.
Empat lagi peguam ialah Dir Kheizwan Kamaruddin, Azril Mohd Amin, Ahmad Nazrin Abu Bakar dan Luqman Mazlan.

Beliau ditanya bentuk tindakan yang boleh diambil terhadap Israel kerana melanggar undang-undang laut antarabangsa dengan menghalang kapal-kapal yang menyertai misi kemanusiaan menghampiri Gaza.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, pihak CENTHRA mendapat kerjasama erat daripada pasukan peguam The Legal Centre for Arab Minorities Rights in Israel (Adalah) yang telah berjaya mengakses para delegasi termasuk rakyat negara ini yang sedang ditahan.
Beliau menjelaskan, peguam Malaysia tidak diberikan akses untuk bertemu peguam Adalah mahupun sukarelawan yang ditahan di Pelabuhan Ashdod, Israel.
“Kita amat mengharapkan agar pihak Israel hanya menggunakan isu kesalahan imigresen dan menahan para peserta selewatnya 72 jam dari masa ditahan,” ujarnya.
Menjawab soalan apakah ruang lingkup perbincangan yang diadakan dengan pasukan Adalah, Fahmi berkata, segala komunikasi dengan pasukan itu menjurus kepada isu pembebasan segera rakyat tempatan yang telah ditahan.
“Kami turut akan memastikan mereka diberikan hak yang saksama dan adil meskipun Malaysia tidak mempunyai sebarang hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Ketika ditanya maklum balas yang diperolehi hasil pertemuan CENTHRA dengan Kedutaan Besar Malaysia di Amman semalam, beliau berkata, pihaknya telah memberikan taklimat ringkas berkenaan maklumat terkini penahanan itu.
Ujarnya, pihak kedutaan memberi jaminan akan memastikan para peserta Malaysia dibawa balik secepat mungkin.
Sementara itu, kedutaan tersebut dalam satu hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan pasukan peguam Malaysia bagi memastikan delegasi GSF mendapat perlindungan undang-undang yang adil dan telus.
“Pihak kedutaan juga turut berhubung dengan negara-negara sahabat ASEAN di Amman dan Tel Aviv bagi mendapatkan maklumat semasa berkenaan tahanan Malaysia serta menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya,” demikian menurut kenyataan itu.
Kementerian Luar sebelum ini memaklumkan kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai GSF telah ditahan Israel dan akan dihantar pulang melalui negara ketiga. – MalaysiaGazette















