Jentera Parti Liberal Demokratik (LDP) dilihat gigih sewaktu melakukan kerja-kerja pemasangan bendera LDP ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Ke-16 Sabah di Kota Kinabalu, Sabah. foto HAZROL ZAINAL, 18 SEPTEMBER 2020.

KUALA LUMPUR – Parti Liberal Demokratik (LDP) kecewa dengan keputusan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Maju Sabah (SAPP) untuk keluar daripada Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Naib Presiden LDP, Sim Fui berkata, perikatan parti politik itu menggabungkan bukan sahaja suara rakyat Sabah malah mencontohi kesatuan seperti yang dibawa oleh Gabungan Parti Sarawak (GPS).

“Sejak tahun 1964 hingga kini, lebih 30 parti politik tempatan telah ditubuhkan di Sabah, dan masih ada parti baharu yang bakal muncul. Perpecahan berterusan ini hanya melemahkan kedudukan Sabah.

“GRS ditubuhkan untuk mengubah keadaan ini, menyatukan rakyat Sabah, menggabungkan suara kita dan mencontohi kekuatan Gabungan Parti Sarawak (GPS). Kesatuan membawa kepada konsistensi, kekuatan dalam rundingan serta penghormatan daripada Putrajaya,” katanya menerusi kenyataan.

Jelasnya, kerjasama antara ketiga-tiga parti itu sebelum ini antara penyumbang kepada kestabilan ekonomi dan kerajaan negeri.

“Visi ini tercetus daripada sejarah politik Sabah sendiri. Sejak zaman Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO), Berjaya dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada era 1980-an, Sabah berdepan perpecahan politik berpanjangan.

“Walaupun banyak parti tempatan berkongsi matlamat memperjuangkan hak-hak Sabah, mereka sering berpecah dan menubuhkan parti baharu,” tambahnya.

STAR dan SAPP memutuskan untuk keluar daripada GRS dan akan bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Perkara itu diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Presiden GRS yang dipengerusikan oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor yang berlangsung di Sri Gaya pada Rabu lalu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast