GEORGE TOWN – Polis masih berusaha mengenal pasti identiti dua lelaki yang ditemui rentung dalam sebuah kereta selepas terbabit kemalangan di Jalan Permatang Tiga, Sungai Dua di sini hari ini.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Azizee Ismail berkata, kedua-dua mayat berkenaan dibawa ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat petang tadi.
“Setakat ini kita masih menunggu laporan penuh. Malah, pemilik kenderaan yang dinaiki mangsa juga belum dikenal pasti dan kereta terbabit masih berada di lokasi kejadian,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran Festival Seni Hidup 2025 di Lebuh Armenian hari ini.
Tambah beliau, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa merupakan warga asing atau sebaliknya kerana perlu menunggu keputusan bedah siasat.
ARTIKEL BERKAITAN:
Terdahulu MalaysiaGazette melaporkan dua lelaki mati rentung selepas kereta jenis Proton Saha BLM mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah motosikal.
Mayat kedua-dua mangsa ditemui di dalam dan luar kereta tersebut. – MalaysiaGazette
















