Mayat dihantar ke Hopsital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.

KEPALA BATAS – Kereta dinaiki terbabas sebelum merempuh timbunan tanah punca dua lelaki maut terbakar dalam kejadian di Jalan Permatang Baru, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapat maklum berhubung nahas itu kira-kira jam 7.30 pagi.

“Hasil siasatan mendapati kereta jenis Proton Saga yang dinaiki dua individu itu dipercayai datang dari arah Permatang Tiga menuju ke Sungai Dua.

“Bagaimanapun, apabila sampai di lokasi, pemandu dipercayai hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan dan merempuh timbunan tanah sebelum kereta itu terbakar.

“Akibat kejadian itu, dua mangsa dipercayai pemandu dan penumpang rentung serta disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media malam tadi.

Tambah beliau, mayat kedua-dua mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Kepala Batas untuk bedah siasat.

“Setakat ini identiti kedua-dua mangsa belum dapat dikenal pasti dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan ini diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Seberang Perai Utara di talian 04-575 7946,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN

Mayat dua mangsa rentung ditemui dalam dan luar kereta

MalaysiaGazette semalam melaporkan mayat kedua-dua lelaki yang rentung ditemui di dalam dan  luar kereta jenis Proton Saga BLM.

Pengarah Penyelamat Jambatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri, Mohamad Shoki Hamzah berkata, masing-masing mereka merupakan pemandu dan penumpang dipercayai lelaki berdasarkan pemeriksaan fizikal. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast