KUALA LUMPUR – Majlis Ulama UMNO menegaskan bahawa kehadiran menteri ke majlis rasmi kerajaan yang turut menghidangkan arak adalah tidak wajar dan bercanggah dengan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan.
Timbalan Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali, berkata pendirian tegas itu dinyatakan susulan kenyataan Menteri Pelancongan Seni dan Budaya, Tiong King Sing yang mempertahankan kehadiran beliau ke sebuah majlis rasmi dengan alasan minuman keras tersebut ditaja oleh pihak industri.
Menurut Khairuddin, penajaan oleh industri bukanlah alasan untuk membenarkan kehadiran menteri ke majlis sedemikian, apatah lagi ia melibatkan acara rasmi kerajaan.
“Ia bukan sahaja bercanggah dengan peraturan malah memburukkan imej negara yang berpaksikan Islam sebagai agama Persekutuan,” kata kenyataan itu.
Khairuddin juga mengingatkan bahawa kehadiran seorang menteri ke majlis yang menyediakan arak turut melibatkan penyertaan para pegawai kerajaan yang beragama Islam.
“Sebagai Menteri, sebarang tajaan arak dalam majlis yang ada kaitan dengan kementerian dengan kehadiran menteri mesti ditolak apatah lagi kehadiran menteri akan disertai oleh para pegawai kerajaan yang beragama Islam.
“Ia mendedahkan pegawai kerajaan beragama Islam dengan majlis minuman arak secara terbuka yang menjadikan mereka bersyubahat dengan perlakuan yang bercanggah dengan Islam,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa arak bukan sahaja haram dari sudut agama, malah memberi kesan buruk terhadap kesihatan masyarakat.
“Arak adalah minuman yang tidak sihat untuk kesihatan dan bercanggah dengan Islam. Tindakan menteri boleh menjadi alasan oleh generasi baru nanti untuk menormalisasikan arak,” kata kenyataan itu lagi.
Semalam, King Sing menafikan dakwaan Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsudin bahawa minuman alkohol dihidangkan dalam majlis rasmi kerajaan, sebaliknya menjelaskan majlis itu adalah inisiatif pihak industri dan sektor swasta.
King Sing menjelaskan Tourism Malaysia hanya bertanggungjawab menganjurkan acara Global Travel Meet selama dua setengah hari.
Terdahulu Mas Ermieyati mendakwa minuman beralkohol dihidangkan dalam sebuah majlis makan malam anjuran Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia, sehingga menyebabkan tetamu beragama Islam meninggalkan majlis lebih awal.
Selain Mas Ermieyati, antara yang turut mengecam majlis makan malam itu ialah Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Mohd Akmal Salleh dan Ketua Dewan Ulama Pas, Datuk Ahmad Yahaya. – MalaysiaGazette
















