Guru, Lau Teik Hwa (atas) dan pesara guru, Choong Kean Beng (bawah) masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merotan seorang pelajar sehingga menyebabkan kecederaan di Mahkamah Majistret Pulau Pinang hari ini.

GEORGE TOWN – Dua guru termasuk seorang pesara sebuah Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK)  dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan berasingan merotan seorang pelajar sehingga menyebabkan kecederaan pada 2023.

Di Mahkamah Majistret 2, tertuduh, Lau Teik Hwa, 47, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Muhammad Amzar Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa dengan sengaja menyebebkan kecederaan ke atas seorang pelajar lelaki yang ketika itu berusia 13 tahun menggunakan rotan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di dalam bilik disiplin SMJK dalam daerah Timur Laut di sini pukul 4 petang pada 2 Ogos  2023.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntuk hukuman penjara sehingga 10 tahun atau dengan denda atau dengan sebat atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Farihin Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Koay Ee Teng.

Dalam prosiding, Siti Nur Farihin memohon  mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM4,000 manakala peguam tertuduh pula memohon jaminan minimum dikenakan terhadap anak guamnya.

“Tertuduh juga sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak berusia 11, 15 dan 18 tahun. Kami mohon jaminan RM4,000 dikurangkan,” ujar Ee Teng.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 11 November depan.

Sementara itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi, pesara guru, Choong Kean Beng, 59, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membabitkan mangsa sama.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di tempat sama kira-kira pukul 5.30 petang pada 6 Disember 2023.

Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Polis, Inspektor Zaida Azuwa Zainal Abidin manakala tertuduh diwakili peguam, K. Mahendran.

Tertuduh dibenarkan diikat jamin RM6,000 beserta syarat tambahan tidak dibenarkan menganggu mangsa sehingga kes selesai.

Kes akan disebut semula 4 November depan bagi serahan dokumen. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast