Muhammad Hareez Adzrami Foto IG Haroqs.

 

KUALA LUMPUR – Peserta termuda Misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF), Muhammad Hareez Adzrami meluahkan rasa bersyukur kerana tidak menyangka mendapat sokongan berterusan daripada rakyat Malaysia sepanjang tempoh penahanannya.

Menerusi perkongsian di laman Instagram miliknya, dia yang dikenali Haroqs muncul kembali di media sosial selepas lima hari ‘menyepi’ di bawah tahanan tentera Israel.

Haroqs, 25, merupakan salah seorang daripada 23 sukarelawan Misi kemanusiaan yang ditahan di Laut Mediterranean ketika dalam perjalanan ke Gaza dan akan kembali ke tanah air malam ini.

“Saya menangis tanpa henti, bila tengok satu posting ni setelah saya dibebaskan dari penjara.

“Insya-Allah esok saya akan kongsikan cerita itu.

“Terima kasih semua yang ambil berat tentang saya, Ya Allah hebatnya susunan Engkau,” tulisnya di Instagram miliknya di sini.

Sebelum ini, penyertaan Haroqs ke Gaza mendapat perhatian kerana menjadi salah seorang peserta termuda mengikuti misi GSF.

Rata-rata netizen kagum dengannya, malah memberi sokongan dengan harapan pemuda berkenaan selamat pergi dan pulang.

Anak muda kelahiran Negeri Sembilan itu menerima panggilan untuk menyertai misi berkenaan pada 12 Ogos lalu dan terus menerima tawaran itu kerana menganggap ia peluang keemasan yang tidak boleh dilepaskan, tambahan pula dia memang sudah lama berhajat ke Gaza membantu saudara Islam di sana.

Untuk rekod, 23 sukarelawan Malaysia dilaporkan antara yang ditahan dalam serbuan tentera Israel ke atas kapal misi kemanusiaan GSF ketika dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza, sebelum akhirnya dibebaskan selepas desakan antarabangsa.

Ketibaan mereka dijangka tiba malam ini di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 1 (KLIA1). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast